Selasa, 03/06/2025
Share This Article :
Kuala Nerus, 31 Mei 2025 – Seramai 25 anak gelandangan dari pelbagai latar belakang dan peringkat usia, bermula dari tingkatan tiga hingga lima, diberi peluang merasai pengalaman kehidupan kampus dalam Program Santuni Insan, Anak Harapan Madani, sebuah inisiatif khas anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Program selama empat hari ini bertujuan memberi pendedahan awal tentang kepentingan pendidikan tinggi serta menyemai semangat untuk mengejar impian melalui ilmu, walaupun berdepan cabaran latar belakang kehidupan. Program yang dirangka khusus ini adalah kesinambungan daripada program Eratkan Kasih, Santuni Insan 2025 di Kuala Lumpur yang dilaksanakan bulan Ramadan lalu.
Program Santuni Insan, Anak Harapan Madani merupakan hasil usaha sama antara Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT dan Pertubuhan Jejak Jalanan, serta disokong sepenuhnya oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS), KPT.
Antara pengisian menarik program ini termasuk pendedahan kepada peluang melanjutkan pengajian di UMT dan lawatan ke kemudahan utama kampus seperti Perpustakaan UMT. Para peserta turut berpeluang melakukan aktiviti melalui projek fertigasi, aquaponik dan kelulutpreneur di Serambi Niaga selain melawat Hatcheri Akuatrop, makmal dan fakulti. Pada masa sama, para peserta diberi peluang mengikuti sesi kuliah dan amali bersama pensyarah sekali gus memberi mereka gambaran jelas tentang kehidupan sebagai mahasiswa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, menyatakan program ini sebagai sebahagian daripada komitmen universiti dalam memperkasa komuniti melalui pendidikan dan salah satu usaha HEPA UMT melahirkan mahasiswa idaman yang kaya dengan semangat darmabakti, mandiri dan mempunyai nilai empati yang tinggi dalam berperanan membangunkan komuniti. Ini sangat bertepatan dengan nilai teras Malaysia MADANI yang antaranya menekankan soal ihsan.
“Program Santuni Insan, Anak Harapan Madani membuktikan bahawa universiti bukan hanya tempat untuk belajar, tetapi juga menjadi ejen perubahan sosial. Kami mahu anak-anak ini tahu bahawa mereka juga layak bermimpi dan mampu berjaya. Program ini juga selari dengan kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir baru-baru ini bahawa Malaysia mengamalkan dasar keterangkuman dan membuka peluang pendidikan secara adil dan saksama kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk golongan rentan ini,” katanya.
Peserta terbaik lelaki, Darwish Haiqal bin Noor Azan pelajar Tingkatan 5, meluahkan rasa syukur atas pengalaman yang diperolehnya.
“Saya sangat gembira apabila menyertai program ini. Saya ingin belajar bersungguh-sungguh dan mahu menyambung pengajian ke peringkat universiti di UMT nanti,” katanya dengan penuh semangat.
Program julung kali ini diserikan lagi dengan penglibatan aktif kelab Gabungan Sukarelawan Siswa (GASS) dan Muslim Youth Volunteers (MYV) UMT yang menjadi fasilitator dan mentor kepada peserta, memainkan peranan besar dalam memberi dorongan moral dan motivasi sepanjang program kepada peserta.
Melalui pelaksanaan Program Santuni Insan, Anak Harapan Madani UMT bersama rakan strategik berharap dapat menyuntik inspirasi serta membuka ruang kepada anak-anak gelandangan untuk membina masa depan yang lebih cerah melalui pendidikan dan peluang yang saksama.
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
1 Jun 2025