Membina Masa Depan Lestari

Rabu, 09/04/2025

Share This Article :

Kelestarian alam sekitar adalah asas penting dalam menjamin kesejahteraan hidup manusia dan kelangsungan ekosistem bumi. Ia membawa maksud usaha memelihara dan memulihara sumber semula jadi agar keperluan hari ini tidak menjejaskan hak generasi akan datang. Prinsip ini seiring dengan pembangunan mampan yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

 

Setiap tahun, Hari Bumi disambut pada 22 April sebagai inisiatif global meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar. Tema sambutan 2025, “Our Power, Our Planet” menekankan kepentingan tenaga boleh diperbaharui dalam menangani perubahan iklim yang semakin kritikal.

 

Pendidikan alam sekitar wajar diterapkan sejak usia muda di rumah, sekolah dan komuniti. Ia penting dalam membentuk generasi yang bertanggungjawab terhadap bumi. Menyedari hakikat itu, program pendidikan seperti “EcoSmart Kids: Building a Sustainable Future” telah dianjurkan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama NGO Ecoswed dan komuniti setempat di Terengganu.

 

Seramai 175 pelajar sekolah menengah dan rendah sekitar Setiu menyertai program ini yang mengetengahkan pembelajaran interaktif luar bilik darjah. Fokus utama program ialah biodiversiti dan pencemaran alam sekitar, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 13 (Tindakan Iklim), SDG 14 (Hidup di Bawah Air) dan SDG 15 (Hidup di Darat).

 

Antara aktiviti utama ialah pendedahan kepada peranan hutan paya bakau dalam menangani perubahan iklim. Pelajar diajar tentang fungsi bakau dalam menstabilkan ekosistem pantai serta menjadi benteng semula jadi terhadap hakisan dan ribut. Mereka juga diberi peluang menanam anak benih bakau melalui demonstrasi praktikal oleh pihak Ecoswed, selari dengan semangat pemuliharaan Hari Bumi.

 

Kepelbagaian biologi turut diketengahkan melalui aktiviti pengenalan tumbuhan dan pengkelasan spesimen secara visual. Pelajar mempelajari kepentingan interaksi antara spesies dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem. Pemerhatian terhadap serangga dan debunga turut membantu mereka memahami hubungan pendebungaan dan keterjaminan makanan.

 

Selain itu, program turut memberi penekanan kepada isu pencemaran plastik yang menjadi ancaman besar terhadap alam sekitar. Pelajar didedahkan kepada kesan mikroplastik terhadap ekosistem marin dan kesihatan manusia. Mereka mempelajari tentang pengurusan sisa plastik melalui aktiviti pengasingan mengikut kod kitar semula dan demonstrasi pencemaran mikroplastik di pantai.

 

Satu pengalaman bermakna ialah analisis mikroplastik dalam sampel pasir pantai, yang memberi gambaran jelas kepada pelajar tentang kesan langsung pencemaran plastik terhadap alam sekitar tempatan. Aktiviti ini secara tidak langsung mendorong mereka untuk mengamalkan gaya hidup lebih lestari, antaranya dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

 

Program EcoSmart Kids menjadi platform efektif dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Ia bukan sekadar memberi ilmu, malah menyuntik semangat dan tanggungjawab untuk berperanan aktif dalam usaha melindungi bumi. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman seperti ini terbukti lebih berkesan dalam membentuk kesedaran mendalam mengenai isu kelestarian.

 

Sambutan Hari Bumi bukan sekadar simbolik, tetapi satu peringatan bahawa kelestarian bumi bergantung kepada tindakan kita hari ini. Pendidikan, kesedaran dan tindakan kolektif adalah kunci utama dalam membina masa depan lestari untuk semua.

 

Bumi kita, tanggungjawab kita.