UMT sertai keanggotaan GOAP, tingkat tadbir urus lautan lestari

Ahad, 11/05/2025

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan bangga mengumumkan penyertaan rasminya sebagai ahli baharu Global Ocean Accounts Partnership (GOAP) sekali gus mencatat satu lagi pencapaian penting dalam komitmen berterusan universiti itu terhadap tadbir urus lautan yang lestari serta pemerkasaan Ekonomi Biru negara.

 

GOAP merupakan sebuah inisiatif antarabangsa pelbagai pihak yang menyokong negara-negara dalam membangunkan dan menggunakan sistem perakaunan lautan sebagai asas kepada pembuatan dasar, perlindungan ekosistem marin dan penggunaan sumber lautan secara lestari.

 

Keanggotaan UMT dalam jaringan global yang berprestij ini mencerminkan peranan Malaysia yang semakin menyerlah dalam pentadbiran lautan peringkat antarabangsa serta kesiapsiagaan UMT untuk menyumbang secara saintifik dan strategik kepada usaha kelestarian marin sejagat.

 

Penglibatan UMT dalam GOAP didukung oleh Pusat Pemajuan Ekonomi Biru UMT (UMT BEACON) iaitu sebuah platform dinamik yang menerajui penyelidikan rentas disiplin, memacu inovasi serta memperkukuh kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan dalam menjayakan aspirasi Ekonomi Biru negara.

 

BEACON menyumbang melalui pelaksanaan inisiatif praktikal seperti pembangunan sistem data lautan, penilaian nilai ekosistem marin dan sokongan terhadap mekanisme kewangan biru selaras dengan visi BEACON dalam memperkukuh pertumbuhan industri, memperkasa tadbir urus, serta memberdaya komuniti untuk pengurusan sumber lautan yang mampan.

 

Sebagai langkah awal pasca penyertaan, UMT melalui BEACON telah berjaya menganjurkan bengkel peringkat nasional pertama berkaitan akaun lautan bersama GOAP yang bertemakan “Memperkasa Tadbir Urus Ekonomi Biru melalui Akaun Lautan di Malaysia pada 28 dan 29 April lalu.

 

Penganjuran itu berjaya menghimpunkan pelbagai peserta daripada agensi kerajaan persekutuan dan negeri, institusi akademik, pusat penyelidikan dan pelajar universiti sekali gus membuktikan IPT peneraju bidang marin di pantai timur itu komited dalam membentuk pendekatan tadbir urus berasaskan sains dan data yang kukuh.

 

Penyertaan strategik itu turut memperkukuh komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 14 (Hidupan di Laut), SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) serta menyokong pelaksanaan Malaysia Blue Economy Blueprint yang menekankan kelestarian alam sekitar, kesihatan lautan dan pertumbuhan ekonomi hijau secara inklusif.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim secara rasmi menyatakan persetujuan penyertaan keanggotaan GOAP pada 16 April lalu.

 

“Universiti Malaysia Terengganu berbesar hati menyertai Global Ocean Accounts Partnership, sebuah inisiatif global yang penting dan selari dengan misi kami untuk menerajui tadbir urus lautan yang lestari. Penyertaan ini mengukuhkan peranan UMT dalam memajukan sains lautan, dasar marin dan pelaksanaan aktiviti terkait ekonomi biru”

 

Menurutnya, menerusi keanggotaan itu, pihaknya mengambil peluang penuh makna untuk menyumbang kepada usaha serantau dan antarabangsa dalam memelihara ekosistem marin serta memastikan daya tahan sumber lautan untuk jangka masa panjang.

 

UMT kini bersedia memperluas kerjasama bersama ahli-ahli GOAP lain dalam membangunkan sistem perakaunan lautan yang kukuh, menyokong pembangunan kapasiti serantau khususnya dalam kalangan negara ASEAN serta memacu perkongsian ilmu yang inklusif merentas sains, dasar dan masyarakat seiring dengan aspirasi Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN untuk memperkasa pembangunan lestari, integrasi serantau dan kepimpinan dalam tadbir urus lautan.