Thursday, 21/11/2024
Share This Article :
Kewujudan kafe moden yang menawarkan pelbagai menu Barat semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat, mencerminkan perubahan citarasa dan gaya hidup generasi terkini. Fenomena ini tidak hanya terhad di kawasan bandar tetapi turut berkembang di institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang kini menjadi lokasi strategik kepada pengusaha kafe untuk memperluaskan perniagaan mereka.
Baru-baru ini, dua outlet makanan terkenal, He&She dan kafe jenama antarabangsa iaitu CU telah membuka cawangan terbaru di kampus UMT. Kehadiran kafe-kafe ini membawa dimensi baharu kepada suasana kampus dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan kepada warga universiti selain membuka peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman bekerja sebagai krew sambilan atau barista.
Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, menyatakan bahawa usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen universiti untuk menyediakan persekitaran kampus yang kondusif seiring keperluan generasi semasa.
“Kehadiran kafe moden di kampus ini bukan sahaja memenuhi keperluan warga universiti tetapi juga mencerminkan tren terkini sebagai tempat pertemuan, perbincangan dan pengisian masa secara produktif. Suasana santai yang ditawarkan oleh kafe ini turut menyumbang kepada kesejahteraan mental, menjadikan ia pelengkap kepada keseimbangan antara akademik dan kehidupan kampus” ujarnya.
Menurutnya, persekitaran kampus yang kondusif adalah elemen penting dalam membentuk graduan yang holistik. Kehadiran kafe ini menyediakan lebih daripada sekadar tempat makan, tetapi juga ruang bagi pelajar mempelajari kemahiran baharu seperti pengurusan pelanggan dan keusahawanan yang merupakan nilai tambah dalam menghadapi dunia pekerjaan kelak.
“Dengan peluang untuk bekerja sambilan di kafe ini, pelajar berpeluang menimba pengalaman yang akan membantu mereka membentuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, pengurusan masa dan penyelesaian masalah. Ini adalah usaha signifikan dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, serba boleh dan bersedia menghadapi cabaran masa depan yang sentiasa berubah” tambah beliau.
Selain itu, kerjasama strategik antara UMT dan pengusaha kafe dilihat sebagai langkah bijak yang mewujudkan situasi menang-menang. Di satu pihak, pelajar mendapat manfaat daripada peluang pembelajaran di luar bilik kuliah, manakala di pihak lain, pengusaha dapat mengukuhkan jenama mereka dalam kalangan generasi muda yang celik teknologi dan aktif di media sosial.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kita dalam membangunkan ekosistem kampus yang holistik dan inklusif. Ia adalah langkah progresif untuk menjadikan UMT sebuah universiti yang responsif terhadap keperluan semasa, di mana pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki soft skills yang mantap,” jelas Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri.
Dengan adanya kafe moden di kampus, UMT terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi yang bukan sahaja menawarkan pendidikan berkualiti, tetapi juga pengalaman hidup yang bermakna kepada warganya. Kombinasi suasana kondusif, peluang belajar, dan akses kepada pelbagai kemudahan menjadi kunci penting dalam membentuk generasi graduan yang berketrampilan dan relevan dengan keperluan industri.
Disediakan oleh:
Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu