Canselor UMT Berkenan Melancarkan WIFIdx Sempena Majlis Santapan Petang

Ahad, 20/10/2024

Share This Article :

Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu hari ini berkenan menyempurnakan pelancaran program WIFIdx (The Women ICT Frontier Initiative).

WIFIdx merupakan singkatan kepada “United Nations Women ICT Frontier Initiative” adalah program inisiatif pengukuhan ICT wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WIFIdx) dilancarkan pada tahun 2016 di bawah Asian and Pacific Training Centre for Information and Communication Technology for Development (APCICT), berpangkalan di Incheon, Korea.

Profesor Ts. Dr. Mohd. Zamri bin Ibrahim, Naib canselor UMT berkata WIFIdx bertujuan untuk memupuk keusahawanan wanita di asia dan pasifik melalui Pembangunan kapasitI ICT serta memperkasakan wanita dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Ujarnya ia turut menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang diterajui wanita dalam memanfaatkan teknologi digital.

WIFIdx telah dilaksanakan di 12 negara merentasi rantau Asia Pasifik Termasuklah Armenia, Bangladesh, Cambodia, India, Kyrgyzstan, Papua New Guinea, Filipina, Sri Lanka dan Thailand.

“Alhamdulillah UMT amat berbesar hati dan bertuah apabila Sekretariat WIFIdx UN telah memberi mandat kepada UMT sebagai pelaksana WIFIdx di Malaysia untuk tempoh dua (2) tahun dengan KPI.

“Selain itu, UMT turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program WIFIdx di seluruh negara”.

WIFIdx diletakkan di bawah tanggungjawab Profesor Dr. Shamsul Bahri bin Abd Razak yang merupakan perantara UMT, WIFIdx dan komuniti.

Upacara pelancaran WIFIdx disempurnakan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Tuanku Canselor UMT dan disaksikan oleh Profesor Ts. Dr. Mohd. Zamri bin Ibrahim dan Mr. Kiyoung Ko, Pengarah Asian and Pacific Training Centre for Information and Communication Technology for Development.

Pelancaran ini diadakan sempena Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-22 Tahun 2024 yang diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Dalam memastikan kesejahteraan kewangan pelajar UMT sentiasa dalam keadaan baik terutama kepada pelajar yang tergolong dalam kalangan asnaf yang sangat memerlukan sokongan dan dokongan, setiap tahun, pelbagai usaha telah dilakukan oleh UMT bagi meningkatkan pendapatan tabung zakat UMT dan pemerkasaan program pelajar.

Sumbangan dari pelbagai agensi dan Syarikat korporat adalah dalam pelbagai bentuk seperti dana zakat, bantuan pendidikan dan juga geran projek. Semua ini bagi mendokong keperluan pendidikan dan pembangunan pelajar di UMT.

Justeru, majlis pada hari ini turut diadakan penyampaian Cek Cura sebagai simbolik penyerahan sumbangan yang berjumlah RM1,762,213.60 yang merupakan sumbangan oleh Etiqa Family Takaful Berhad, Tabung Haji Negeri Terengganu, MAIDAM, MBSB Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, PETRONAS, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad Kuala Terengganu dan RHB Bank Berhad.

Turut hadir dalam Majlis Santapan Petang Sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-22 petang ini ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Pro-Canselor UMT, Tan Sri Samsudin bin Osman serta Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Profesor Dr. Mohamad Salmi bin Mohd Sohod dan Mr. Kiyoung Ko, Pengarah Asian and Pacific Training Centre for Information and Communication Technology for Development.

Untuk rekod, seramai 2,775 graduan bakal diraikan dengan penuh istiadat dan gilang  gemilang dalam Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-22 yang akan berlangsung selama enam sesi bermula pada 20 hingga 22 Oktober ini. Mereka yang diraikan terdiri daripada 242 graduan pasca siswazah yang terdiri daripada 89 graduan PHD dan 153 graduan sarjana. Manakala seramai 2,533 graduan Pra Siswazah yang terdiri daripada 2,432 graduan sarjana Muda dan selebihnya 101 graduan Diploma.

Majlis Konvokesyen akan diadakan di Dewan Sultan Mizan, UMT dengan keberangkatan KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin dan KDYMM Sultanah Nur Zahirah

Disediakan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

19 Oktober 2024 (Sabtu)