Khamis, 15/05/2025
Share This Article :
KUALA NERUS, 14 Mei 2025– Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan tinggi dalam bidang sains dan teknologi menerusi penganjuran program Discover UMT iaitu sebuah inisiatif strategik bagi memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program anjuran UMT itu bukan sahaja menampilkan pameran akademik dan penyelidikan, malah menjadi platform penting untuk mendedahkan pelajar sekolah terutamanya lepasan SPM kepada peluang pendidikan dan kerjaya masa depan dalam bidang yang sangat kritikal bagi pembangunan negara termasuk bidang berkaitan kecerdasan buatan (AI), kelestarian, kelautan dan sains alam sekitar.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Dr. Suriyani Muhamad, yang mewakili Naib Canselor UMT dalam majlis perasmian menyifatkan program Discover UMT bukan sekadar hari terbuka, tetapi merupakan medium penting memperkenalkan kekuatan akademik dan penyelidikan universiti kepada masyarakat umum.
“Saya percaya melalui program ini, para pengunjung akan mendapat pendedahan yang menyeluruh tentang program pengajian, peluang kerjaya, serta pengalaman pembelajaran unik yang ditawarkan oleh UMT iaitu sebuah universiti yang sinonim dengan kelestarian, ilmu kelautan dan sains alam sekitar”katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Discover UMT berperanan menyokong aspirasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memperkukuh keterlihatan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta memupuk kefahaman masyarakat terhadap potensi pendidikan tinggi.
“Universiti bukan sekadar tempat untuk mendapatkan ijazah, ia adalah institusi pembentukan insan holistik, beretika dan berketerampilan. Maka, Discover UMT menjadi platform yang sangat baik untuk mempamerkan kekuatan akademik, penyelidikan, inovasi dan juga nilai-nilai teras UMT yang menepati keperluan pasaran kerja semasa serta agenda pembangunan negara” Tambahnya.
Selain itu, UMT melalui Pusat Asasi STEM turut mengadakan jalinan kerjasama strategik dengan menjadikan sekolah-sekolah di pantai timur sebagai sekolah angkat.
Pengarah program Discover UMT, Prof. Madya Dr. Laili Che Rose berkata para pelajar UMT akan turun padang secara bergilir-gilir ke 80 buah sekolah angkat di bawah seliaan Pusat Asasi STEM UMT bagi membantu murid dalam pembelajaran subjek STEM secara interaktif.
“Pelajar-pelajar kami melalui subjek Kesukarelawanan STEM akan turun ke sekolah dan membantu adik-adik pelajar mengenai bidang STEM ini.
“Kita mahu melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran holistik iaitu mereka boleh bercakap, berkomunikasi.
Program yang dijalankan secara interaktif itu memberi peluang kepada pelajar untuk menyertai pelbagai aktiviti seperti demonstrasi teknologi, pertandingan inovasi, bengkel sains serta sesi bimbingan kerjaya oleh pensyarah dan penyelidik UMT.
Discover UMT turut menyasarkan untuk menarik minat generasi pelapis dalam bidang sains dan teknologi seiring dengan keperluan negara dalam era Revolusi Industri 4.0 dan Ekonomi Hijau.
Pendedahan awal sebegini dijangka dapat meningkatkan jumlah pelajar cemerlang yang memilih bidang sains sebagai laluan utama sejajar dengan keperluan tenaga pakar dalam bidang strategik seperti AI, biodiversiti marin, keselamatan makanan dan tenaga hijau.
UMT melalui pelbagai pencapaian dalam bidang penyelidikan dan inovasi dilihat berada pada landasan yang tepat untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendidikan tinggi yang berkualiti dan inklusif.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu