Selasa, 18/02/2025
Share This Article :
Dalam era digital yang semakin berkembang pesat, penggunaan peranti elektronik telah menjadi satu keperluan asas dalam kehidupan seharian. Namun, di sebalik kemajuan ini, wujud satu permasalahan besar yang sering diabaikan, iaitu pengurusan sisa elektronik atau e-waste yang tidak berhemah. Sisa elektronik yang tidak dikendalikan dengan baik boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar, kesihatan manusia serta ekonomi negara dalam jangka panjang.
Baru-baru ini negara digemparkan dengan laporan media berkaitan aktiviti pemprosesan sisa e-waste oleh kilang haram serta membawa penemuan 50 tan peluru dan kelongsong hasil serbuan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pihak berwajib turut membuat andaian awal bahawa barangan sisa tersebut diseludup masuk daripada negara lain.
Perkara ini jika dibiarkan berlarutan tanpa sebarang pencegahan berpotensi memberi pelbagai kesan buruk serta ancaman terhadap kesiahatan dan juga alam sekitar.
Menurut Dr. Izan Jaafar, Pensyarah bidang Kimia Analisis dan Persekitaran, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Malaysia mengelaskan e-waste sebagai sisa berbahaya.
“Dalam konteks Malaysia, dikelaskan sebagai buangan terjadual (Scheduled Waste) iaitu kod SW110. Buangan terjadual adalah sebarang buangan yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974”.
“Sisa elektronik mengandungi pelbagai bahan berbahaya seperti plumbum, merkuri, kadmium dan bahan kimia lain yang boleh mencemarkan tanah dan sumber air jika tidak diuruskan dengan betul. Apabila peranti seperti telefon bimbit, komputer dan televisyen dibuang secara sembarangan, bahan toksik ini boleh meresap ke dalam tanah dan air bawah tanah, menyebabkan pencemaran yang sukar dipulihkan. Malah, pembakaran terbuka sisa elektronik bagi tujuan pelupusan boleh membebaskan gas toksik yang mencemarkan udara dan menyumbang kepada perubahan iklim”.
Dr. Izan Jaafar turut menjelaskan bahawa pengurusan sisa e-waste perlu mengikut kaedah yang ditentukan oleh Jabatan Alam sekitar.
“Setakat ini, pengurusan e-waste adalah di bawah kawal selia Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pengguna perlu mengasingkan e-waste daripada sisa rumah am. Pelupusan e-waste perlu dilakukan melalui kaedah kontraktor/vendor yang berdaftar sama ada sebagai agen pengumpul, pengangkut dan kemudian dihantar ke fasiliti pemprosesan e-waste yang telah mendapat kelulusan dari pihak JAS”. Katanya.
Kesan daripada pendedahan kepada bahan kimia dalam sisa elektronik bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah juga menjejaskan kesihatan manusia. Pekerja di tapak pelupusan sisa elektronik atau mereka yang mengendalikan e-waste secara tidak selamat boleh mengalami masalah pernafasan, kerosakan organ dalaman serta gangguan sistem saraf. Kajian menunjukkan bahawa pendedahan jangka panjang kepada logam berat seperti plumbum dan merkuri boleh menyebabkan masalah kognitif, gangguan perkembangan kanak-kanak dan risiko penyakit kronik yang lain.
Sekiranya sisa e-waste melebihi jumlah fasiliti yang diluluskan untuk memproses e-waste, akan berlaku limpahan e-waste yang boleh membawa kesan buruk.
Tambah Dr. Izan, fasiliti yang tidak mendapat kelulusan daripada JAS berisiko untuk mengakibatkan masalah pencemaran air, tanah dan udara akibat daripada pengurusan penyimpanan yang tidak mengikut piawaian yang digariskan.
“Pencemaran ini akhirnya memberi risiko pendedahan kepada masalah kesihatan manusia dan ekosistem”.
Dari sudut ekonomi pula, pengurusan sisa elektronik yang tidak sistematik boleh membawa kerugian besar kepada negara. Banyak komponen elektronik yang dibuang sebenarnya masih boleh dikitar semula dan digunakan dalam industri pembuatan.
Ujar Dr. Izan Jaafar, E-waste mengandungi komponen-komponen berharga yang boleh ditebus guna bukan sahaja logam, malah resin plastik dan kaca yang boleh dijadikan sumber sekunder atau bahan mentah untuk pemprosesan bahan sesuatu produk lain.
“Jika diuruskan dengan baik, industri kitar semula e-waste berpotensi menjadi satu sektor ekonomi yang mampan dan menguntungkan”.
Kesedaran dan tanggungjawab semua pihak amat penting dalam menangani isu ini. Pengguna perlu memainkan peranan dengan mengitar semula peranti lama melalui saluran yang betul, manakala pihak berkuasa perlu memperketatkan undang-undang berkaitan pengurusan sisa elektronik.
Hanya dengan usaha kolektif, kita dapat memastikan e-waste dikendalikan dengan lebih baik untuk melindungi alam sekitar, kesihatan manusia dan menjamin kelestarian ekonomi negara.
Disediakan oleh :
Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu