Rabu, 27/11/2024
Share This Article :
SETIU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus komited dalam memupuk kesedaran alam sekitar melalui program pendidikan luar bilik darjah dengan menganjurkan Kembara Ilmu: Explore the Majestic Mangrove.
Program yang melibatkan 50 pelajar itu terdiri daripada lima buah sekolah rendah dan menengah sekitar Kuala Terengganu bagi mengadakan aktiviti berkonsepkan pemuliharaan ekosistem biodiversiti di Wetland School of Setiu.
Antara sekolah yang terlibat adalah SK Bari (Sungai Tong), SK Pechah Rotan, SK IPG KDRI, SK Tok Jiring dan SMK Kompleks Mengabang Telipot.
Menurut ketua projek, Dr. Tengku Fara Kamilia, penganjuran itu bagi mendedahkan kepada pelajar berkaitan kepentingan pemuliharan sumber biodiversiti dalam usaha mengekalkan kelestarian alam.
“Kembara Ilmu ini memberi pengalaman pembelajaran yang unik kepada pelajar. Selain mempelajari kepentingan kelestarian ekosistem hutan paya bakau, mereka juga dapat meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris dalam suasana interaktif dan menyeronokkan.”
Pelbagai aktiviti menarik dianjurkan untuk mengukuhkan kesedaran pelajar terhadap ekosistem paya bakau seperti Pemindahan nurseri bakau, pencarian lokan disamping sesi perkongsian berkaitan peranan hutan paya bakau sebagai penampan semula jadi pantai yang penting untuk kelestarian biodiversiti.
Ujarnya, aktiviti itu bukan sahaja mendidik pelajar tentang pentingnya melindungi alam sekitar tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk mempraktikkan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
“Program ini menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 13. Melalui pendidikan alam sekitar, pelajar dididik tentang isu perubahan iklim serta peranan ekosistem hutan paya bakau dalam mengurangkan impak perubahan tersebut”.
“Explore the majestic mangrove” turut mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi termasuk NGO Ecoswed Initiative, Akademi Cikgu Alam Setiu Wetland serta disokong oleh Pusat Pengurusan Lestari UMT.
Turut hadir dalam menjayakan program kesedaran itu ialah barisan penyelidik terdiri daripada pensyarah UMT iaitu Prof. Madya Dr. Azza Jauhar, Dr. Izan Jaafar dan Suria Hani.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu