Gembleng kepakaran industri, akademia pacu pembangunan pendidikan negara

Rabu, 28/05/2025

Share This Article :

PUTRAJAYA, 27 Mei 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang sains marin dan kelestarian sumber akuatik menerusi jalinan strategik bersama pemimpin industri menerusi Program CEO@Faculty iaitu platform perkongsian berimpak tinggi hasil inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memperkasa pendidikan tinggi negara dengan penglibatan wakil industri.

 

Komitmen itu dizahirkan UMT melalui Majlis Minum Petang Pengurusan UMT bersama Ahli CEO@Faculty yang diadakan di Hotel Everly, Putrajaya sebagai usaha mengangkat agenda kebolehpasaran graduan, pemerkasaan kurikulum serta kerjasama penyelidikan strategik dalam mendepani cabaran global seperti perubahan iklim, gangguan ekonomi serta kemajuan teknologi.

 

Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Profesor Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod dalam ucapannya menegaskan bahawa CEO@Faculty bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar, malah membuka peluang kepada industri untuk mendapatkan pandangan baharu dan akses kepada bakat muda yang berkualiti tinggi.

 

“Program CEO@Faculty menjadi platform strategik yang menghimpunkan pemimpin industri untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran, sekaligus memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar dan membuka peluang kerjasama penyelidikan yang relevan dengan keperluan semasa”.

 

“Melalui program ini, bakat masa depan bukan sekadar belajar tentang dunia sebenar, malah mereka belajar dalam suasana dunia pekerjaan sebenar”. Katanya.

 

UMT kini aktif melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk integrasi kurikulum berasaskan industri, pelaksanaan Micro-credential dan pembelajaran berasaskan pekerjaan (work-based learning) serta penubuhan ekosistem inovasi melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) dan UMT-GEM.

 

UMT juga aktif dalam menghasilkan produk inovasi berasaskan kepakaran dalam bioteknologi marin dan kelestarian perikanan. 

 

“Melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) serta Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM), UMT berjaya menterjemah idea penyelidikan kepada produk dan perkhidmatan yang memberi impak sosial dan ekonomi melalui pembangunan ekosistem inovasi dan syarikat pemula (start-up) yang menyokong pembangunan bakat keusahawanan dalam kalangan pelajar dan penyelidik”. Ujarnya.

 

Turut diberi penekanan ialah kerjasama dalam bidang penyelidikan teras seperti bioteknologi marin dan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) seiring dengan keperluan negara dan matlamat pembangunan lestari (SDG) peringkat global.

 

Program CEO@Faculty dianggap platform penting dalam menyelaraskan pendidikan tinggi negara bagi mendepani cabaran perubahan Revolusi Industri 5.0 dengan gembleng CEO syarikat korporat sebagai rakan strategik dalam membimbing, membentuk dan memacu perubahan dalam ekosistem pendidikan negara.

 

Majlis minum petang itu menghimpunkan 15 CEO yang dilantik oleh KPT ditindikkan kepada UMT bagi mendokong prinsip keterangkuman, inovasi dan kolaborasi untuk memacu pembangunan negara.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu