Rabu, 06/11/2024
Share This Article :
Kuala Terengganu – Junior Terengganu Robot Challenge (JTRC 2024), pertandingan robotik yang pertama kali diadakan untuk pelajar sekolah rendah di Negeri Terengganu, telah berlangsung pada 5 November 2024 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Pertandingan ini merupakan usaha bersama Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Komputeran (FTKK) UMT, Sekolah Kebangsaan Rengas Bekah (SKRB), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPN), dan Cytron Technologies Malaysia. Sasaran utama pertandingan ini adalah memperkenalkan teknologi robotik dalam kalangan pelajar sekolah rendah di seluruh negeri, sekali gus memupuk minat awal dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Dengan tema “Belajar Sambil Berinovasi,” JTRC 2024 telah berjaya menarik penyertaan lebih dari 100 pasukan, yang setiap satunya terdiri daripada empat pelajar.
Pertandingan yang julung kalinya diadakan pada tahun ini turut menyaksikan penyertaan dari kategori sekolah khas, merangkumi sekolah orang asli, sekolah pedalaman, dan sekolah kurang murid (SKM). SK Sungai Berua yang termasuk dalam kategori sekolah orang asli dari Hulu Terengganu telah menghantar dua pasukan, meskipun kedudukan sekolah yang terpencil dari jaringan infrastruktur asas. Penyertaan sekolah orang asli dalam pertandingan ini adalah satu langkah penting untuk merapatkan jurang pendidikan dengan memberikan peluang sama rata kepada semua pelajar untuk meneroka teknologi terkini yang mana ini adalah satu dari aspirasi ‘Malaysia Madani’ oleh Perdana Menteri kita Dato’ Seri Dr Anwar bin Ibrahim.
Beberapa penyertaan turut diterima dari sekolah pedalaman yang terdiri daripada sekolah yang terletak jauh dari pusat bandar, seperti SK Sungai Las dan SK Merbau Menyusut di Setiu, serta SK Padang Setengge di Hulu Terengganu. Penyertaan mereka memberi peluang kepada pelajar-pelajar dari kawasan ini untuk turut serta dalam pembelajaran robotik yang mungkin sukar diakses di kawasan mereka. Bagi sekolah kurang murid (SKM) yang dikategorikan sebagai sekolah dengan bilangan pelajar yang rendah seperti SK Darau di Besut, SK Sentol Patah di Marang, SK Pecah Rotan di Kuala Nerus, dan SK Pasang Luas di Besut, turut menghantar wakil untuk menyertai pertandingan robotik ini meskipun terdapat banyak kekangan dari pelbagai segi di pihak sekolah. Hampir 50% penyertaan dalam pertandingan robotik ini adalah dari sekolah luar bandar yang mana ini telah memberikan pendedahan berharga kepada para pelajar dalam bidang teknologi serta meningkatkan keyakinan diri mereka untuk terus maju berinovasi.
Menurut Pengarah Program, Prof Madya Ts Dr Ahmad Nazri Dagang, pertandingan itu bukan sahaja bertujuan untuk memperkenalkan teknologi robotik kepada pelajar, tetapi juga menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif dalam menyelesaikan cabaran yang diberikan.
“Robotik bukan hanya tentang teknologi; ia menggabungkan sains, matematik, dan kemahiran berfikir kritis yang penting. Kami percaya bahawa pertandingan ini adalah cara ideal untuk memperkenalkan semua elemen tersebut dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif,” ujar beliau.
Selain itu, JTRC 2024 juga menekankan aspek komunikasi dan kerjasama dengan menyediakan ruang kepada pelajar untuk bekerja dalam kumpulan, bertukar pandangan, dan belajar menyelesaikan masalah bersama. Pengalaman ini dijangka dapat membina keyakinan diri dan kemahiran sosial yang penting dalam kalangan pelajar, di samping mengukuhkan asas pembelajaran teknologi mereka.
Pertandingan itu turut memperkenalkan program pengajian yang ditawarkan oleh FTKK kepada masyarakat Terengganu.
“Beberapa siri bengkel robotik anjuran FTKK telah diberikan kepada guru-guru sekolah sebagai persiapan untuk menyertai pertandingan ini dan harapan tinggi agar program ini mampu meningkatkan minat pelajar dalam bidang teknologi dan kejuruteraan, sekaligus menyumbang kepada pembangunan sumber manusia yang berkemahiran tinggi di masa hadapan”. Katanya.