KSU KPT adakan lawatan kerja ke UMT, tinjau projek pembangunan dan tebatan banjir

Rabu, 20/11/2024

Share This Article :

KUALA NERUS, 16 November 2024 – Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Seri Ir Dr. Zaini Ujang hari ini mengadakan lawatan kerja ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi meninjau projek pembangunan yang sedang berjalan serta inisiatif tebatan banjir yang giat dilaksanakan di kampus itu.

 

Lawatan yang berlangsung di Kampus UMT itu bertujuan untuk menilai kemajuan projek-projek infrastruktur yang berpotensi meningkatkan kemudahan akademik dan kebajikan pelajar serta memastikan keberkesanan sistem tebatan banjir yang sedang dilaksanakan bagi mengurangkan kesan banjir di kawasan sekitar kampus.

 

Datuk Seri Prof. Ir Dr. Zaini Ujang telah diberi taklimat mengenai projek pembangunan terkini yang melibatkan pembinaan dan penambahbaikan fasiliti akademik dan pentadbiran seiring keperluan universiti itu.

 

Beliau juga berpeluang meninjau pelaksanaan sistem tebatan banjir yang dibina dengan kos bernilai jutaan ringgit untuk memastikan keselamatan kampus khususnya pelajar serta bagi mengelakkan proses pengajaran dan pembelajaran tergendala terutama pada musim hujan yang sering menyebabkan banjir.

 

Tegasnya, pihak kontraktor perlu menyiapkan projek-projek yang sedang berjalan dalam tempoh yang ditetapkan sepertimana dijadualkan.

 

“Sekiranya masalah kelewatan berpunca daripada kekurangan pekerja, pihak kontraktor perlu menambah bilangan pekerja bagi menangani masalah tersebut”. Katanya ketika sesi pembentangan status kemajuan projek pembinaan Kompleks Akademia UMT.

 

UMT telah mengambil inisiatif besar dalam memastikan kampusnya bersedia menghadapi sebarang bencana alam dengan melibatkan pelbagai pihak berkuasa tempatan dan pakar dalam bidang berkaitan selain libat urus dengan penyelidik yang juga pensyarah universiti itu.

Projek tebatan banjir di UMT termasuk mendalamkan dan pembesaran sungai, menaiktaraf kolam takungan banjir, penjajaran semula sistem saliran, pembinaan struktur pengawalan banjir di muara.

 

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim turut menzahirkan rasa terima kasih atas lawatan turun padang tersebut bagi melihat sendiri keadaan terkini pelaksanaan projek.

 

“Pelaksanaan projek pembangunan ini akan memberi impak besar kepada pembangunan holistik universiti dalam mencapai visi untuk menjadi peneraju pendidikan tinggi bertaraf dunia.

 

“Dijangkakan kedua-dua projek ini akan memberikan impak yang besar kepada UMT setelah siap dilaksanakan kelak terutamanya bagi projek Sistem Tebatan Banjir dan Sistem Pencegahan Pantai. Diharapkan selepas siapnya projek ini, kejadian banjir setiap kali musim monsun tidak akan berlaku lagi di dalam kampus UMT ini.” Katanya

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu