Rabu, 06/11/2024
Share This Article :
Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan peranannya dalam mendukung Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) melalui penganjuran program Laman FPSM – Ladang & Akuatik ke Meja Makan.
Program yang dianjurkan oleh Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM) itu berjaya menarik lebih 20 agensi kerajaan, swasta, serta sekolah dan komuniti tempatan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Profesor ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin berkata, penganjuran program itu bukan sahaja menyediakan platform pembelajaran kepada pelajar, tetapi turut memperlihatkan usaha universiti dalam mendukung SDG dan amalan terbaik ESG.
“Laman FPSM selaras dengan SDG 2 bagi pembasmian kelaparan dan SDG 4 yang menekankan pendidikan berkualiti melalui penyediaan platform pembelajaran kepada pelajar,”
Jelasnya, penganjuran itu menumpukan kepada pengurusan sumber secara lestari dibawah aspek ESG khususnya dalam bidang perikanan dan akuakultur yang disokong oleh pelbagai pameran dan perkongsian daripada pihak industri.
“Komitmen ini menunjukkan keprihatinan UMT dalam mendidik generasi muda tentang pentingnya amalan kelestarian, yang akan memastikan sumber kita terpelihara untuk generasi akan datang,”
Menurut Dr. Marinah, penglibatan serta komitmen padu daripada pihak industri dan komuniti membuktikan universiti itu berada di landasan yang tepat dalam membentuk pemimpin yang beretika dan bertanggungjawab.
“Ini membuktikan sokongan sosial yang padu terhadap pembangunan akademik dan kerjaya pelajar kami serta sejajar dengan aspirasi ESG,” katanya.
Selain itu, Profesor Marinah juga memuji kejayaan FPSM dalam memperoleh dana RM94,760 melalui Program Intervensi Mahasiswa Akuakultur (PRIMA) yang akan menyediakan latihan persijilan profesional kepada pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains Akuakultur.
“Inisiatif seperti PRIMA ini sangat penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan kami dan diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang” Katanya.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu