Khamis, 22/05/2025
Share This Article :
Langkawi, 20 Mei 2025 – Satu langkah strategik ke arah memperkukuh ekosistem sukan pelayaran dan pembangunan akademik di Malaysia dimeterai hari ini menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Persatuan Pelayaran Malaysia (Malaysian Sailing Association – MSA).
MoU ini diadakan bersempena dengan penganjuran Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2025, sekali gus memperlihatkan komitmen UMT dan MSA dalam menyokong agenda nasional memperkukuh sektor maritim dan pelayaran negara melalui platform berprestij antarabangsa.
Menurut Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), MoU ini menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang yang merangkumi pendidikan, penyelidikan, pembangunan sukan dan penganjuran acara pelayaran bertaraf kebangsaan serta antarabangsa.
Tambahnya pembangunan kursus akademik dan profesional secara bersama, melalui dalam talian sepenuhnya atau secara bersemuka, untuk kakitangan UMT, pelajar, jurulatih dan komuniti pelayaran di Malaysia diperluaskan.
“Selain itu, UMT dan MSA akan menjalankan aktiviti penyelidikan dan penerbitan berkaitan pelayaran secara bersama, selain menganjurkan acara pelayaran termasuk kejohanan antara universiti, pertandingan perahu layar besar (keelboat), dan regata e-pelayaran peringkat kebangsaan dan antarabangsa,
“Malah pihak kami juga turut menyediakan peluang kepada atlet dan jurulatih kebangsaan yang memenuhi syarat kelayakan kemasukan untuk melanjutkan pengajian di UMT, selain menyediakan aset dan infrastruktur bagi pembangunan sukan pelayaran dan apa-apa bidang kerjasama lain yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak”.
Tambahnya Pusat Pelayaran UMT akan menjadi titik tumpuan utama bagi merealisasikan kerjasama ini.
Kerjasama ini bertepatan apabila MSA dan UMT telah mempunyai sejarah kerjasama yang panjang sejak tahun 2017 seperti penerbitan buku teks modul pelayaran, penganjuran kursus kompetensi bagi pembangunan jurulatih, pembangunan e-sukan (e-pelayaran), dan penganjuran acara pelayaran peringkat antarabangsa.
Ujarnya lagi, kerjasama ini adalah sebahagian daripada komitmen universiti untuk memacu kecemerlangan akademik dan sukan secara seiring, khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan maritim.
Sementara itu Presiden MSA, Dato Hj. Mohd Rawi bin Abdul Hamid turut menyatakan keyakinan bahawa usaha sama ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pelayaran yang lebih mapan dan berdaya saing, bukan sahaja dari sudut prestasi atlet tetapi juga dari aspek penyelidikan dan pendidikan.
Dengan termeterainya MoU ini, UMT dan MSA berharap dapat melahirkan lebih ramai tenaga profesional dan atlet pelayaran yang berpengetahuan, berkemahiran dan mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Kedua-dua MoU ini disaksikan oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Dalam masa yang sama, UMT turut menandatangani MoU bersama Persatuan Strategik Maritim Malaysia (MASTRA) bagi menjalin kerjasama dalam penganjuran program berkaitan maritim, khususnya pameran, seminar dan persidangan yang melibatkan pensyarah dan pelajar UMT.
Sempena LIMA 2025, UMT turut menyertai Pameran Penyelidikan dengan mempamerkan dua inovasi maritim terkini hasil penyelidikan dan pembangunan penyelidik UMT iaitu Malaysia Marine Forecast System (MFAST). MFAST merupakan sebuah sistem ramalan cuaca marin berteknologi tinggi yang dibangunkan secara tempatan untuk perairan Malaysia.
MFAST menyediakan ramalan setiap tiga jam selama lima hari dengan ketepatan tinggi, meliputi parameter penting seperti angin, ombak, arus, suhu dan paras air laut. Dengan resolusi sekitar 4 km dan antara muka mesra pengguna, sistem ini menyokong pelbagai aplikasi termasuk operasi keselamatan laut, penyelidikan saintifik, dan industri rekreasi serta lepas pantai. Dibangunkan oleh Ocean Hydro Sdn. Bhd., sistem ini bersedia untuk diterokai ke pasaran tempatan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam bidang teknologi ramalan oseanografi.
Turut dipamerkan ialah Marine Vehicle Operation Simulator Within Mobile Environment, sebuah simulator pengendalian kapal mudah alih yang dibangunkan oleh VSG Labs Sdn. Bhd. Simulator ini membolehkan pengguna mengalami simulasi realistik sebagai jurumudi, dengan latihan di lebih 60 pelabuhan berbeza. Ia menekankan aspek keselamatan dan pematuhan prosedur industri maritim, menjadikannya alat latihan yang ideal dalam persekitaran maya yang selamat. Inovasi ini berpotensi besar untuk dimanfaatkan oleh industri latihan pelayaran serta menyumbang kepada pembangunan kemahiran marin pada peringkat global.