Rabu, 20/11/2024
Share This Article :
Kuala Nerus, 16 November 2024 – Meneruskan tradisi tahunan, Majlis Anugerah Ikon Siswa (AIS) UMT bagi tahun 2024 telah diadakan bertempat di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam mengiktiraf bakat terbaik mahasiswa dan mahasiswi UMT yang telah menunjukkan kecemerlangan secara holistik. Bertemakan “Mengiktiraf Bakat, Mencarta Keunggulan”, AIS UMT 2024 memberikan penghormatan kepada individu-individu mahasiswa yang telah memberikan sumbangan luar biasa dalam pelbagai aspek kehidupan kampus.
Anjuran Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM), sebanyak 16 anugerah telah dipertandingkan di bawah lima (5) kluster iaitu Kluster Kepimpinan Pelajar, Pembangunan Sosial, Kesukarelawanan, Pembangunan Akademik dan Intelektual serta Khas Pasukan. Selain itu, tiga anugerah utama sempena AIS UMT 2024 turut dianugerahkan iaitu Anugerah Bingkas Timbalan Naib Canselor HEPA, Anugerah U&Me Together Naib Canselor, dan Anugerah Ikon Siswa UMT 2024.
AIS UMT 2024 telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi yang telah meluncurkan serta menyampaikan anugerah utama iaitu Anugerah Ikon Siswa UMT 2024.
Anugerah BINGKAS Timbalan Naib Canselor HEPA dianugerahkan kepada Saudari Alina A/P Pannirselvam, yang juga merupakan Pengarah Program Newcasting and Hosting Competition 2.0 dan Nautical Industry and Community Engagement 2024. Beliau di iktiraf atas kepimpinan yang cemerlang serta penglibatan dalam pelbagai program berimpak tinggi bidang pengucapan awam UMT.
Anugerah U&Me Together Naib Canselor pula dianugerahkan kepada Kelab Kebudayaan Baratham, yang telah berjaya menganjurkan program Natyamela 7.0: Aazhi The Splash of Rhythm peringkat antarabangsa serta program Lahara: The Tidal Tales of Triumph peringkat kebangsaan. Pengiktirafan ini diberikan atas sumbangan mereka dalam mempromosikan kepelbagai kebudayaan Malaysia dan secara tidak langsung memperkenalkan UMT ke persada dunia.
Anugerah Ikon Siswa UMT 2024 dianugerahkan kepada Saudara Muhammad Aqasha Mukris bin Zainuri. Sepanjang bergelar mahasiswa, beliau telah menyumbang khidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman Sesi 2023/2024 selama satu (1) tahun, turut bergiat aktif sebagai Usahawan Siswa UMT menerusi perniagaan Tentrem Jiwo iaitu kedai gunting rambut di Kolej Kediaman UMT serta merupakan Pengarah Program Misi Sejuta Harapan: JPKK Terokai Bumi Nusantara di Surabaya, Indonesia. Pemilihan beliau mewakili UMT dalam Global Student Leadership Summit 2024 di Turki juga telah menjadikan beliau contoh teladan dalam bidang kepimpinan dan keusahawanan pelajar dan universiti di peringkat global.
AIS UMT 2024 turut menyaksikan pelancaran Modul Bakat Bingkas dan Garis Panduan Program Mikro Kredit Siswa (PEMERKASA), yang bertujuan untuk menjadi dokumen terujuk dalam menjana kepemimpinan dan keusahawanan di kalangan mahasiswa UMT. Pelancaran modul dan garis panduan ini akan memainkan peranan penting dalam membentuk mahasiswa yang lebih kompeten dan berdaya saing di peringkat global.
Peganjuran Majlis Anugerah Ikon Siswa UMT 2024 juga mendapat penajaan daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Pamin Construction Sdn. Bhd. dan di harap dapat terus memberi inspirasi kepada mahasiswa UMT untuk mencipta keunggulan dalam pelbagai bidang sekaligus mengukuhkan lagi imej UMT sebagai institusi pendidikan yang terkemuka di Malaysia.
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu