Rabu, 4/12/2024
Share This Article :
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti berfokus marin yang unggul melalui pengiktirafan antarabangsa terhadap kemudahan makmalnya.
Dalam majlis peluncuran akreditasi MS ISO/IEC 17025:2017 baru-baru ini, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim mengumumkan pengiktirafan terkini makmal penyelidikan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) sekali gus menjadikannya institusi keempat di kampus itu menerima persijilan akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia.
Pengiktirafan itu merupakan bukti komitmen UMT terhadap aktiviti penyelidikan dan inovasi yang mematuhi piawaian antarabangsa. MS ISO/IEC 17025:2017 menetapkan standard pengurusan dan perkhidmatan ujian makmal yang diiktiraf global, secara tidak langsung memastikan makmal UMT dapat memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pelanggan serta peraturan semasa.
Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri menekankan bahawa pengiktirafan iitu bukan sahaja membuktikan keupayaan universiti dalam menyediakan tenaga kerja terlatih yang profesional, tetapi juga mencerminkan keazaman institusi untuk terus relevan dengan perubahan dan cabaran global.
“Pengurusan kualiti yang berkesan membantu UMT meningkatkan kecekapan kerja dan menyumbang kepada kecemerlangan perkhidmatan serta pencapaian akademik,”
“Dalam usaha meningkatkan daya saing global, UMT kini memiliki empat makmal yang diakreditasi, termasuk Makmal Teknologi Pemakanan Organisma Akuatik AKUATROP. Pengiktirafan ini turut memperkukuh status AKUATROP sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (HICoE) berteraskan akuakultur dan perikanan”. ujarnya.
Menurutnya, UMT berhasrat untuk terus mempelbagaikan kreativiti dan inovasi dalam prosedur kerja, dengan fokus kepada penghasilan penyelidikan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Beliau turut menyeru semua pihak di UMT untuk mengekalkan momentum kejayaan yang diperolehi dan terus memberikan komitmen terhadap kecemerlangan penyelidikan.
Pengiktirafan makmal UMT sebagai rujukan bertaraf antarabangsa membuktikan dedikasi universiti dalam menerajui penyelidikan inovatif yang selaras dengan keperluan semasa.
Pengiktirafan itu memperkukuhkan lagi peranan UMT sebagai pemimpin dalam bidang marin dan sains akuakultur, sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu