MELAHIRKAN GRADUAN HOLISTIK DAN DINAMIK SEIRING KEPERLUAN INDUSTRI

Ahad, 20/10/2024

Share This Article :

Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari itu melangkah ke satu lagi pencapaian penting apabila meraikan seramai 2,775 graduan sempena Majlis Konvokesyen Ke-22 yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 20 hingga 22 Oktober 2024.

 

Majlis itu memperlihatkan usaha berterusan UMT dalam memperkasa mahasiswa dan melahirkan graduan yang holistik serta dinamik bersedia memenuhi keperluan industri yang kian mencabar.

 

Daripada jumlah keseluruhan graduan, seramai 2,533 merupakan graduan peringkat prasiswazah, manakala 242 adalah graduan pascasiswazah. Pecahan itu merangkumi 90 graduan PhD, 113 graduan Sarjana (Penyelidikan), dan 39 graduan Sarjana (Kerja Kursus), menunjukkan komitmen UMT terhadap penyelidikan dan pengembangan ilmu yang relevan dengan industri masa kitu.

 

Sebagai universiti yang komited terhadap pemerkasaan sosial, seramai 1,816 graduan yang diraikan hari itu adalah daripada kategori B40, menggambarkan keazaman UMT dalam memberikan peluang pendidikan tinggi kepada golongan yang kurang berkemampuan. Itu adalah selari dengan aspirasi universiti untuk memastikan pendidikan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

 

Majlis itu juga menyaksikan 514 graduan cemerlang menerima pengiktirafan Kelas Pertama, suatu pencapaian yang mencerminkan kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh UMT. Antara penghargaan tertinggi yang disampaikan termasuk Anugerah Pelajaran Diraja yang diberikan kepada Nur Izzati Yusri dan Liam Jing Zhi, masing-masing bagi kategori Bumiputera dan bukan Bumiputera sekaligus membawa pulang pingat Jaya Cemerlang Bersadur Emas, wang tunai berjumlah RM7,500 serta sijil penghargaan.

 

Dalam Majlis Konvokesyen itu, turut diadakan Perisytiharan Pro-Canselor Tan Sri Dato’ Seri Zuki Ali, Mantan Ketua Setiausaha Negara dan sekarang menjawat jawatan Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang juga merupakan anak jati Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu.

 

Selain itu, UMT juga berjaya melahirkan 23 graduan sulung dari program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Senibina Kapal) dengan Kepujian yang merupakan bukti komitmen universiti dalam menawarkan program-program yang memenuhi permintaan sektor maritim antara salah satu bidang yang sedang pesat berkembang di Malaysia dan global.

 

Selain itu, majlis konvokesyen UMT ke-22 turut menyaksikan 18 orang graduan bagi program Pembangunan siswa sulung (Sulung) yang merupakan itusiatif diperkenalkan oleh pihak kerajaan dalam membiayai pendidikan secara percuma kepada ahli keluarga pertama yang layak untuk menyambung pengajian diperingkat ijazah sarjana muda.

 

Majlis Konvokesyen Ke-22 turut memberikan tujuh anugerah istimewa kepada graduan yang menunjukkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum.

 

Antaranya ialah Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Khas PTPTN, dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma.

 

Dengan usaha gigih dalam melahirkan graduan yang holistik, UMT memastikan para pelajarnya bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mempunyai kebolehan insaniah yang tinggi dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompleks. Penekanan terhadap kemahiran komunikasi, kepimpinan, serta pemikiran kritikal dan kreatif, merupakan elemen penting dalam kurikulum UMT yang berorientasikan industri.

 

Majlis Konvokesyen Ke-22 itu bukan sahaja meraikan pencapaian akademik para graduan, tetapi juga merupakan manifestasi kejayaan UMT dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi dan bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Dengan usaha yang berterusan dalam memperkasa mahasiswa melalui program-program akademik dan kokurikulum yang relevan, UMT yakin akan terus menjadi peneraju dalam melahirkan graduan yang dinamik dan berdaya saing di peringkat global.

 

Konvokesyen kali ke – 22 itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik di gerai karnival konvokesyen, antaranya Pertandingan Bola Sepak Rakyat 9s (GASS), Pertandingan Masakan Kampung, Pertandingan Dikir Barat, Pertandingan Wau, Akasia, Simfoni Malam, dan banyak lagi acara yang telah disusun.

 

Komuniti setempat dan orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara yang akan berlangsung di Tapak Pesta Konvokesyen UMT dari 18 hingga 22 Oktober itu.

 

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu