OptiFeed produk inovatif hasil penyelidikan UMT

Ahad, 22/12/2024

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melakar satu lagi kejayaan penting dalam usaha mendepani cabaran industri akuakultur dengan pelancaran OptiFeed, produk rumusan makanan akuakultur yang mengandungi kandungan nutrien optimal bagi memenuhi keperluan spesies akuatik.

 

OptiFeed merupakan hasil kajian mendalam yang diketuai oleh Dr. Aidilla Mubarak dengan kerjasama empat penyelidik dari fakulti yang berbeza, menggunakan dana geran penyelidikan sebanyak RM102,180.

 

Menurut Dr. Aidilla Mubarak, projek itu menggabungkan elemen sains dan teknologi dengan pendekatan inovatif dalam pemakanan akuakultur.

 

“Projek ini merupakan hasil penyelidikan menggabungkan sains dan teknologi dengan pendekatan inovatif dalam pemakanan akuakultur seperti spesis tilapia merah, guarami (ikan kaloi), udang galah, dan spesies zebrafish,” jelas beliau dalam majlis Sidang Media Inovasi UMT yang berlangsung di Pusat Komunikasi Strategik UMT, Putrajaya baru-baru ini.

 

OptiFeed dirumus khas untuk memastikan keseimbangan nutrisi yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan optimum dan kesihatan spesies akuatik yang diternak. Rumusan khas itu mengandungi protein, lipid, vitamin dan mineral penting yang direka khas khusus untuk keperluan biologi spesifik setiap spesies.

 

Dengan inovasi yang diperkenalkan, OptiFeed bukan sahaja meningkatkan kadar pertumbuhan ternakan, malah turut mengurangkan sisa makanan yang berlebihan, sekali gus membantu menjaga kelestarian ekosistem akuatik.

 

“OptiFeed akan membuka peluang yang luas dalam industri akuakultur serta memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan sektor pertanian dan pemakanan negara,” tambah Dr. Aidilla.

 

Projek penyelidikan itu melibatkan kerjasama erat antara penyelidik dari pelbagai bidang, mencerminkan pendekatan interdisiplin dalam menangani cabaran industri.

 

Kejayaan itu membuktikan gabungan kepakaran dalam penyelidikan mampu memberikan peluang penerokaan ilmu yang lebih luas serta menghasilkan produk yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

“Kolaborasi ini membuktikan keupayaan penyelidik UMT untuk mengintegrasikan kepakaran dari pelbagai disiplin, menghasilkan penyelesaian inovatif yang relevan dengan keperluan semasa”.Katanya.

 

Pelancaran OptiFeed diharapkan dapat memacu perkembangan industri akuakultur negara, meningkatkan daya saing di peringkat global serta menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam aspek keselamatan makanan dan kelestarian sumber akuatik.

 

Produk itu juga berpotensi untuk mengurangkan kebergantungan kepada makanan ternakan yang diimport serta menjimatkan kos pengeluaran bagi pengusaha tempatan.

 

Penemuan itu secara tidak langsung membuktikan komitmen UMT dalam menyokong industri akuakultur yang mampan dan inovatif, sekali gus memperkukuhkan peranannya sebagai institusi peneraju dalam bidang sains marin dan teknologi di rantau ini.