Ahad, 26/01/2025
Share This Article :
Kuala Nerus, 19 Januari 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima pelantikan baharu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dr. Suriyani Muhamad berkuatkuasa pada 19 Januari 2025. Memiliki latar belakang akademik dalam bidang ekonomi dan merupakan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT semenjak tahun 2022.
Pelantikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) ini adalah bagi tempoh dua (2) tahun dan telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 13 Januari lepas.
Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman berkata Kementerian yakin dengan pelantikan ini akan terus memperkasa pembangunan akademik dan agenda pengantarabangsaan di UMT.
Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Akhir dilantik sebagai Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat). Sebelum ini, Profesor Ts. Dr. Mohd Fadzil menyandang jawatan sebagai Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), UMT selama lima (5) tahun bermula tahun 2019.
Manakala Profesor Ts. Dr. Noor Maizura binti Mohamad Noor yang sebelum ini merupakan Pengarah, Pusat Pembangunan Dan Pengurusan Akademik pula dilantik sebagai Pro Naib Canselor (Industri, Masyarakat dan Digital). Pelantikan keduanya berkuatkuasa pada 5 Disember 2024.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri bin Ibrahim berkata pelantikan ini dilihat bakal meneruskan agenda pemerkasaan UMT sebagai peneraju utama bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik negara, sekali gus mampu memacu pembangunan ekonomi komuniti menerusi Dasar Ekonomi Biru (Blue Economy).
Beliau turut menyeru warga UMT agar sama-sama berganding bahu dalam meningkatkan lagi keterlihatan universiti ke persada antarabangsa serta meletakkan nama UMT sebaris dengan nama universiti terkemuka lain.
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
19 Januari 2025