Isnin, 17/02/2025
Share This Article :
PANGKOR, 15 Februari 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya dalam pemindahan ilmu kepada masyarakat melalui Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP) Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor.
Majlis peluncuran projek itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di Kampung Tengah, Pangkor, Perak dengan kehadiran pelbagai pihak berkepentingan termasuk masyarakat setempat dan wakil agensi kerajaan.
Menurut YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry, projek itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memastikan universiti menjadi pusat pemindahan ilmu yang berimpak tinggi dan memberikan manfaat kepada komuniti.
Beliau menekankan bahawa segala kepakaran dan fasiliti universiti harus dimanfaatkan sepenuhnya selari dengan fokus utama KPT bagi memperkasa ekonomi masyarakat melalui pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu.
“Projek ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi baharu tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat dalam melindungi alam sekitar demi kelestarian ekosistem Pangkor. Ia selari dengan aspirasi kita untuk menjadikan universiti sebagai pusat inovasi dan pemangkin pembangunan sosial,” ujar beliau dalam ucapannya sempena Majlis Peluncuran Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP) Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor.
Sementara itu, Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim memaklumkan bahawa projek itu menekankan lima elemen utama iaitu pelaksanaan yang pantas, impak yang tinggi, mampu milik, kebolehpasaran serta kelestarian.
UMT juga menjalankan pemantauan dan penilaian berterusan bagi memastikan kejayaan projek serta memperkukuhkan kerjasama dengan rakan strategik.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif pemerkasaan komuniti, UMT turut melibatkan mahasiswa dalam program khidmat masyarakat. Seramai 100 orang pelajar tahun akhir dari program pelancongan telah menyertai Kursus MICE (Meeting, Incentive, Conference, Exhibition) di Pulau Pangkor bagi meningkatkan pengalaman mereka dalam pembangunan komuniti.
Selain itu, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut mengumumkan perancangan untuk membangunkan Galeri Ternakan Kelulut sebagai pusat sehenti (one-stop centre) yang berfungsi sebagai platform pengumpulan produk komuniti serta memperkenalkan keunikan dan warisan Pangkor hasil cetusan idea ketika lawatan peserta projek ke UMT dan program komuniti bimbingan universiti.
Beliau juga menyentuh potensi projek pemindahan ilmu lain seperti Projek Penternakan Ketam Nipah dan Ketam Kulit Lembut, Projek Pemuliharaan Penyu, Projek Ekopelancongan serta Projek Penternakan Ikan Buntal yang berupaya memperkasakan masyarakat dan meningkatkan daya saing sektor pelancongan di Pangkor.
Majlis peluncuran itu membuktikan peranan serta gembleng usahasama strategik UMT dan KPT untuk memperkasa komuniti melalui inovasi dan pemindahan ilmu yang berimpak tinggi serta mampu memberikan manfaat berkekalan kepada masyarakat setempat sekaligus menyumbang kepada pemuliharaan sumber alam yang lestari.
Latar belakang UMT
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bermula sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera di bawah Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada 1979 sebelum dinaik taraf menjadi kampus cawangan UPM pada 1996. Pada 1999, ia menjadi Kolej Universiti Terengganu (KUT), kemudian Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) pada 2001, seterusnya dijenamakan sebagai UMT pada 2007. UMT kini terkenal dalam penyelidikan kelautan, biodiversity dan bioteknologi marin serta memainkan peranan dalam Tanggungjawab Sosial Universiti (USR). Dengan lokasi strategik di pesisir Laut China Selatan, UMT terus berkembang seiring dengan wawasan negara demi kemajuan akademik, penyelidikan dan pembangunan masyarakat.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu