Pengguna perlu bijak menilai pengeluar produk yang manipulasi ‘Greenwashing’

Ahad, 17/11/2024

Share This Article :

Dunia kini semakin terdedah kepada ketidaktentuan iklim dan cuaca yang melampau. Data terkini menunjukkan bahawa kemusnahan rumah hijau dan peningkatan suhu global telah menyumbang kepada fenomena-fenomena seperti banjir besar, kenaikan paras laut dan ancaman terhadap kehidupan marin. Situasi ini memberi cabaran besar kepada manusia dalam usaha menjaga kelestarian alam sekitar, menggerakkan masyarakat global untuk lebih cakna terhadap alam semula jadi. Namun, di sebalik peningkatan kesedaran ini, timbul pula fenomena manipulasi kelestarian atau lebih dikenali sebagai ‘greenwashing’.

Dalam konteks pemasaran produk, banyak pengeluar kini menggunakan istilah-istilah seperti ‘eco-friendly’, ‘Greenliving’, ‘go green’ dan seumpamanya untuk menggambarkan produk mereka sebagai mesra alam. Namun, kajian terkini mendedahkan bahawa tidak semua pengeluar benar-benar mengamalkan pendekatan lestari dalam pengeluaran produk mereka. Sebaliknya, mereka hanya menggunakan tagline tersebut sebagai taktik pemasaran bagi memperdaya pengguna supaya membeli produk mereka, walaupun produk berkenaan tidak memberi manfaat sebenar kepada alam sekitar. Fenomena ini dinamakan ‘greenwashing’ di mana tindakan tersebut bukan sahaja memperdaya pengguna, malah turut menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar akibat tindakan pengguna menyokong dengan melakukan pembelian tanpa sedar hakikat pengeluaran produk sebenar.

Pihak berkaitan perlu merangka penilaian konstruktif bagi mengelakkan isu manipulatif ‘greenwashing’ khususnya di peringkat industri. Agensi terlibat harus menetapkan peraturan dan garis panduan kelestarian untuk memastikan bahawa tuntutan “hijau” oleh sesebuah syarikat mahupun produk adalah sah dan berkesan, bukan sekadar strategi pemasaran.

Langkah ini amat penting untuk mengelakkan ‘greenwashing’ di mana syarikat membuat tuntutan palsu atau mengelirukan tentang usaha kelestarian mereka tanpa usaha yang benar-benar signifikan terhadap alam sekitar.

Pengguna mempunyai peranan besar dalam menentukan haluan pengeluaran produk lestari, terutama melalui corak perbelanjaan dan sokongan mereka terhadap sesuatu produk. Namun, isu greenwashing ini menjadikan pengguna mangsa kepada taktik pemasaran manipulatif yang memberi kesan lebih buruk kepada alam sekitar. Apabila pengguna membeli produk yang dipercayai mesra alam, sokongan ini secara tidak langsung memberikan kepercayaan palsu kepada pengeluar dan membiarkan mereka terus beroperasi tanpa memberi sumbangan sebenar kepada kelestarian alam. Oleh itu, adalah penting bagi pengguna untuk lebih berhati-hati dan bijak dalam menilai produk yang mereka beli.

Pengguna kini harus melihat lebih mendalam terhadap aspek kelestarian produk termasuk aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi teras kepada penilaian kelestarian sesebuah syarikat. Melalui pemahaman yang mendalam terhadap laporan ESG, pengguna boleh melihat usaha yang dilakukan oleh syarikat untuk mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar, menjaga kebajikan pekerja dan menegakkan tadbir urus korporat yang baik. Ini adalah salah satu pendekatan yang boleh membantu pengguna menilai ‘keaslian’ komitmen syarikat terhadap alam sekitar, sekaligus mengelakkan diri daripada terjerumus dalam perangkap greenwashing.


Disediakan oleh Dr. Siti Nurain Muhmad, Pensyarah (Tadbir Urus Korporat, Kewangan Islam), Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu.