Ahad, 26/01/2025
Share This Article :
Kuala Nerus, 10 Januari 2025 – Seramai 230 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengambil bahagian dalam program Rakan Demokrasi: Kuasa Orang Muda Bagi Zon Timur (Terengganu) 2025 yang berlangsung di Dewan Persidangan 2, UMTCC, UMT baru-baru ini, Program ini adalah inisiatif anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Pertubuhan Nusa Bangsa (NUSA), Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan (JPKK), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia dan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UMT.
Program ini berhasrat meningkatkan keprihatinan dan komitmen golongan belia untuk menjadi warganegara muda yang aktif (active citizenship), prihatin dan holistik melalui aktiviti pendidikan politik. Ia dapat dijayakan dengan membekalkan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melibatkan diri secara berkesan dalam proses demokrasi dan pembuatan keputusan. Bengkel ini juga direka untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pelbagai aspek demokrasi, termasuk penerokaan konsep demokrasi, pemahaman terhadap proses pilihan raya, serta peranan belia dalam memberi impak positif kepada sistem demokrasi.
Program ini turut merangkumi pelbagai aktiviti interaktif seperti e-Pembelajaran Kuasa Orang Muda, kempen media sosial, bengkel pendidikan, dan penyertaan dalam pasukan jalanan (Street Team). Aktiviti-aktiviti ini dirancang untuk memastikan peserta mendapat pengalaman pembelajaran yang menyeluruh dan praktikal.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, program ini seiring dengan hasrat HEPA UMT untuk menjayakan pendidikan politik dalam kalangan mahasiswa malah telah wujud sebelum ini, Unit Literasi dan Advokasi Politik atau ADVOKASI@UMT bagi menggerakkan usaha literasi politik secara tersusun. Tambah beliau lagi, program kali ini disokong oleh dua kumpulan urusetia utama, iaitu Urusetia Nusa Bangsa dan Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa (PPPM), Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UMT.
Menurut salah seorang peserta, Saudara Adam Qayyum Bin Rasukhan, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, “Banyak manfaat saya dapat daripada program ini antaranya, saya pelajari kepentingan bahawa berpolitik secara demokrasi dapat membantu rakyat memahami hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara. Saya berharap, program ini dapat diteruskan secara berkala dan dijadikan program tahunan di setiap universiti bagi memberi mendedahkan para mahasiswa tentang kecelikan berpolitik serta sistem demokrasi berparlimen”.
Selain beliau, Nur Suriati Binti Ruslan dari Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM), berpandangan bahawa program ini memberi kesedaran yang lebih mendalam kepada pelajar dan anak muda tentang peranan mereka dalam sistem demokrasi. Ia juga memberi peluang kepada mereka untuk mengasah kemahiran kepimpinan dan meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap komuniti. “Program seperti ini dapat membentuk generasi muda yang lebih peka dan aktif dalam urusan negara, sekaligus dapat meningkatkan proses penglibatan orang muda dalam politik dan masyarakat”, tambah beliau lagi.
Apa yang jelas, program Rakan Demokrasi ini telah membuktikan bahawa usaha membentuk warganegara muda yang aktif memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan, dan pertubuhan bukan kerajaan. Ia diharapkan dapat melahirkan generasi belia yang lebih prihatin, berpengetahuan, dan bertanggungjawab dalam menyumbang kepada pembangunan negara.