Wednesday, 11/9/2024
Share This Article :
Sekumpulan penyelam skuba Universiti Mlaaysia Terengganu (UMT) menemui tapak kapal karam di perairan Pulau Bidong, Terengganu selepas menerima maklumat daripada nelayan pada tahun 2012 . ‘Khazanah’ itu dipercayai sarat dengan muatan barangan bersejarah seperti tembikar dan barangan dagangan sebelum karam di perairan Pulau Bidong sekitar tahun 1510-1520. Penemuan itu bukan sahaja membuka lembaran baru dalam sejarah maritim negara, tetapi juga memberi impak besar terhadap perkembangan penyelidikan arkeologi marin di negara kita.
Penemuan kapal karam seperti ini memberi peluang kepada ahli arkeologi untuk mengkaji sejarah perdagangan global, serta hubungan antara tamadun pada waktu itu. Barangan yang ditemui seperti tembikar, porselin dan artifak lain menunjukkan bahawa Malaysia telah menjadi salah satu persinggahan penting dalam laluan perdagangan antarabangsa.
Penemuan kapal dikenali The Bidong Shipwreck itu telah membuka lembaran baharu dalam aktiviti penyelidikan artifak bawah air dalam mengembangkan penemuan baharu bagi tamadun serta warisan nusantara.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT, Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari berkata, hampir lima ratus barangan artifak dalam bentuk sempurna dan juga telah rosak berjaya dinaikkan untuk dijalankan kajian dan penyelidikan.
“Sebelum ini, kita telah melakukan tiga siri ekskavasi terhadap ‘The Bidong Shipwreck’ iaitu pada 2017, 2022 dan 2023.
“Setakat ini, hasil kajian mendapati kapal tersebut diperbuat daripada kayu pokok meranti temak nipis yang hanya terdapat di Asia Tenggara. Besar kemungkinan ia bangkai kapal warisan Melayu atau Nusantara”.
Menurutnya, penemuan itu telah dijadikan penanda aras baharu dalam penyelidikan arkeologi bawah air.
“Salah satu kesan terbesar dari penemuan ini ialah Pulau Bidong dijadikan sebagai pusat latihan ekskavasi artifak marin.
“Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah memainkan peranan penting dalam memajukan penyelidikan arkeologi marin melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa tempatan dan agensi antarabangsa.
Katanya, aktiviti ekskavasi itu memerlukan kepakaran dalam pelbagai disiplin seperti arkeologi, geologi marin dan sejarah warisan dan budaya.
“Dalam proses ini, para penyelidik dapat mempelajari teknik menyelamatkan artifak tanpa merosakkan struktur kapal karam atau barang-barang bersejarah lain.
Dengan penemuan itu, katanya, Pulau Bidong terus menjadi pusat penting dalam kajian arkeologi marin, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Penemuan kapal karam dan pembangunan aktiviti ekskavasi itu membuka peluang besar untuk Malaysia memperkukuhkan kedudukannya dalam bidang arkeologi marin. Ia membolehkan negara memanfaatkan kepakaran tempatan dan antarabangsa untuk melatih generasi baru sebagai pelapis dalam penyelidikan arkeologi dan maritim.
Disediakan oleh :
Amirul Salam Hasan
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu