Rabu, 07/05/2025
Share This Article :
KUALA NERUS, 7 Mei – Kehadiran Sasterawan Negara Ke-14, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) nyata memberi impak besar kepada warga kampus apabila beliau berkongsi pengalaman, ilham dan semangat kecintaan terhadap tanah air melalui karya sastera dalam program Minda Kreatif Sasterawan Negara, semalam.
Program yang diadakan di Auditorium Sulaiman itu merupakan acara istimewa sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMT dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memperkukuh kolaborasi bidang bahasa, penerbitan dan kesusasteraan Melayu.
Menurut Pro Naib Canselor (Strategi, Prestasi dan Korporat) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir yang mewakili Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, program itu amat bertepatan dalam merangsang pemikiran kreatif dalam kalangan mahasiswa sekali gus memupuk semangat patriotik berasaskan sejarah dan jati diri bangsa.
“Pemikiran Sasterawan Negara seperti Datuk Dr. Siti Zainon Ismail mampu mengubah landskap penulisan sastera ke arah lebih bermutu. Karya beliau yang sarat nilai sejarah tanah air menjadi ilham kepada penulis muda agar tidak lupa akan akar bangsa dan tanah air,” ujar beliau dalam ucapannya.
Tambah beliau, sastera merupakan wadah penting dalam membentuk manusia beradab, berilmu, dan bertanggungjawab selari dengan prinsip Rukun Negara dan teras Malaysia MADANI.
“Golongan muda digalakkan untuk lebih serius dalam menghasilkan karya kreatif yang bernilai dan membina bangsa”.
Dalam majlis yang penuh bermakna itu, turut diadakan persembahan adaptasi sajak dan cerpen hasil karya Sasterawan Negara yang dikendalikan oleh Pusat Kebudayaan dan Kesenian UMT dengan kerjasama daripada Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah dan Jabatan Bahasa dan Komunikasi Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan.
Prof. Ts. Dr. Mohd Fadzil turut menekankan bahawa usaha UMT dan DBP memperkenalkan tokoh sastera kepada masyarakat melalui program seperti Minda Kreatif sangat bertepatan dengan aspirasi pendidikan tinggi masa kini bagi mendokong visi Kementerian Pengajian Tinggi melalui pelaksanaan program Festival of Ideas yang mengetengahkan pemikiran tempatan, kejayaan nasional dan kearifan lokal.
“Kita berharap lebih ramai bakat baharu akan muncul dalam dunia sastera, selain dapat menyemarakkan budaya membaca dan menulis dalam kalangan mahasiswa. Minda kreatif ini bukan sekadar memberi kefahaman sastera, tetapi juga mencetuskan idea dan inovasi yang segar dalam kalangan belia,” katanya.