Rabu, 20/11/2024
Share This Article :
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengorak langkah ke hadapan dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi dengan penubuhan Serambi Niaga iaitu sebuah pusat inovatif yang bertujuan menggalakkan mahasiswa menceburi bidang keusahawanan. Inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan tetapi juga menyumbang kepada pembangunan nilai holistik dalam kalangan mahasiswa.
Serambi Niaga menawarkan pelbagai sokongan kepada mahasiswa yang berminat untuk bergiat aktif dalam keusahawanan. Antaranya ialah bantuan dana pinjaman tanpa faedah yang merupakan satu langkah strategik bagi memberi peluang kepada mahasiswa memulakan perniagaan tanpa tekanan kewangan yang besar. Pendekatan itu turut melengkapkan ekosistem keusahawanan UMT melalui penawaran platform seperti rangkaian dropship, ejen jualan dan khidmat latihan dan bimbingan perniagaan oleh pensyarah.
Pusat yang berkonsepkan makmal amali perniagaan itu merupakan cetusan idea Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain bagi memperkasakan lagi mahasiswa UMT melalui nilai tambah kemahiran keusahawanan dan pertanian.
Menurutnya, usaha yang dilaksanakan oleh dua pusat utama iaitu Kolej Kediaman & Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM) itu selaras dengan agenda universiti untuk menghasilkan graduan yang bukan sahaja mencari pekerjaan tetapi juga mampu mencipta peluang pekerjaan.
“Serambi Niaga memberikan ruang kepada mahasiswa untuk mengasah bakat keusahawanan mereka sejak berada di kampus, menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja,” jelas beliau.
“Kita sediakan makmal hidup, ekosistem keusahawanan lestari, modul bimbingan, hub kepimpinan pelajar, silang program, kolaborasi alumni dan platform eksperimen produk baharu di Serambi Niaga dan itu keunikan dan kelebihan yang kita tawarkan kepada pelajar di sini. Ini memberi pendedahan langsung kepada mahasiswa tentang realiti dunia perniagaan, termasuk strategi pemasaran, pengurusan kewangan dan pembinaan rangkaian perniagaan”.
Salah seorang mahasiswa yang terlibat, Nur Amiera Zulkifli, 21, pelajar program Sarjana Muda Sains Akuakultur menyifatkan Serambi Niaga sebagai peluang yang luar biasa perlu direbut oleh mahasiswa.
“Serambi Niaga memberikan pengalaman menjadi usahawan sebenar dengan bermula langkah pertama sehingga aktiviti jualan produk yang dihasilkan. Ilmu keusahawanan seperti ini agak sukar diperoleh tetapi ia ditawarkan di sini.” katanya.
Penubuhan Serambi Niaga membuktikan komitmen UMT dalam membentuk graduan yang seimbang, berdaya saing serta mendukung transformasi pendidikan tinggi melalui pendekatan inovatif dan dinamik.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu