TOMSY2024 bukti UMT komited lindungi planet bumi

Selasa, 29/10/2024

Share This Article :

Dalam dunia yang semakin terkesan oleh perubahan iklim, inisiatif untuk melindungi ekosistem lautan semakin penting. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) telah menganjurkan Tropical Ocean and Marine Sciences International Symposium 2024 atau TOMSY2024 sebagai bukti komitmen gedung ilmu itu dalam usaha pemuliharaan dan kelestarian lautan serta alam sekitar global.

 

Lautan memainkan peranan penting dalam mengawal iklim. Namun tahap ‘kesihatan’ planet marin itu kian merosot akibat daripada aktiviti manusia seperti pencemaran, pembalakan, penerokaan hutan berleluasa.

 

Dapatan terkini sekumpulan penyelidik mendedahkan bahawa lautan telah menyerap hampir 90 peratus haba yang dihasilkan daripada pelepasan karbon, menjadikannya lebih panas dan terasidifikasi.

 

Justeru, UMT melalui INOS bukan sahaja menjalankan penyelidikan saintifik, tetapi juga menggunakan teknologi canggih seperti alatan robotik bawah laut dan penderiaan jauh untuk memantau serta memahami perubahan lautan. Kolaborasi bersama syarikat teknologi berkaitan marin dalam membangunkan teknologi maritim merupakan satu lagi usaha UMT dalam memanfaatkan teknologi untuk pemuliharaan.

 

Penganjuran TOMSY2024 telah berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta terdiri dari dalam dan luar negara melibatkan pelbagai latar belakang termasuk penyelidik, pemain industri, para akademia yang komited dalam bidang sains lautan serta pelajar.

 

Platform itu digunakan untuk perkongsian pengetahuan serta membincangkan isu-isu penting seperti dinamik laut pesisir, pengurusan data marin dan ekonomi biru.

 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Prof. ChM. Dr. Marinah Arifin TOMSY2024 bertemakan “Nurturing a Healthy Ocean for Future Generations” bertepatan dengan aspirasi pembangunan lestari global dan SDG14 – pemuliharaan dan penggunaan lestari lautan.

 

“UMT turut memainkan peranan sebagai anggota UNESCO, Ocean Teacher Global Academy (OTGA) dalam membangunkan modul latihan yang menyokong SDG14.

 

“Selain itu, UMT melalui INOS turut menjalin kerjasama dengan inisiatif serantau seperti IOC WESTPAC dan program akademik antarabangsa seperti Erasmus Mundus bagi biodiversiti tropika. Katanya, program itu bertujuan untuk membina keupayaan pengurusan lestari di Asia Tenggara, memperlihatkan kesungguhan UMT dalam memupuk kesedaran global dan membina kapasiti ilmiah untuk kelestarian lautan.

 

Bersempena penganjuran TOMSY2024, turut diadakan sesi perkongsian sekumpulan penyelidik yang telah menyertai ekspedisi kapal penyelidikan tercanggih di dunia dari Amerika Syarikat,  OCEAN Explorer milik OCEANX.

 

“Kerjasama UMT dalam ekspedisi penyelidikan itu memfokuskan kajian terhadap ekosistem marin di perairan Pahang dan data yang diperoleh amat penting untuk merangka strategi pengurusan lautan lestari”.

 

Tambah Dr. Marinah, TOMSY2024 membuktikan komitmen UMT dalam menyebarkan ilmu dan membangunkan penyelesaian lestari dalam mendepani perubahan alam sekitar global.

 

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu