Ahad, 13/10/2024
Share This Article :
Kuala Nerus, 9 Oktober – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (UMT-GEM) serta Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah menganjurkan MyNext Internship Market Week X Career Entrepreneurship and Skills Festival (MyNEXT IMW X CESF’24) bersempena Industry and Career Expo 2024 (ICE 2024).
Program berkonsepkan hari terbuka itu berlangsung selama tiga hari, bermula 9 Oktober 2024 bertempat di Dewan Sultan Mizan, UMT.
Karnival kerjaya itu menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada pelajar, alumni serta komuniti setempat.
Sebanyak 44 majikan daripada pelbagai sektor turut serta untuk menawarkan kekosongan jawatan dan berkongsi maklumat terkini tentang industri kepada para peserta.
Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menyatakan bahawa penganjuran karnival itu adalah sebahagian daripada komitmen UMT dalam melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing seiring dengan visi universiti untuk mempersiapkan pelajar menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin dinamik.
“Inisiatif seperti ini membuktikan kesungguhan UMT dalam memastikan graduan kami memiliki kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk bersaing di pasaran kerja global,” kata beliau.
Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada pelajar UMT untuk mendapatkan pendedahan langsung kepada kehendak industri serta meningkatkan kebolehpasaran mereka melalui pelbagai perkongsian maklumat dan pengalaman daripada syarikat yang terlibat.
“Inovasi, kerjasama dan kecemerlangan menjadi teras kepada inisiatif kami. UMT sentiasa berusaha membina dan mewujudkan platform perkongsian yang kukuh melibatkan pemain industri bagi memastikan graduan kami dilengkapi pengetahuan terkini dan kemahiran yang relevan untuk bersaing di pasaran kerja global” kata beliau.
Tambah beliau, pendedahan kepada teknologi terkini dan kemahiran industri yang kritikal adalah penting dalam memastikan graduan UMT bersedia untuk menyumbang kepada pertumbuhan industri yang pesat.
“Selaras dengan evolusi industri, kita perlu memanfaatkan kerjasama dan perkongsian untuk menyediakan peluang masa depan yang lebih besar kepada generasi akan datang” katanya lagi.
Penganjuran itu juga menjadi platform penting bagi UMT untuk memperkukuh peranan sebagai institusi yang berusaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan berdaya usaha, selain memperluaskan jaringan kerjasama industri demi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat