Ahad, 10/11/2024
Share This Article :
Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa komuniti dan menyokong pembangunan lestari melalui penerimaan dana sebanyak RM500,000 bagi pelaksanaan 12 projek berimpak tinggi di bawah inisiatif Komuniti@UniMADANI.
Dana itu merupakan hasil kepercayaan Kementerian Kewangan Malaysia kepada UMT dalam mengukuhkan hubungan universiti dengan komuniti melalui pelbagai inisiatif sosial.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Profesor ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin, hampir separuh daripada jumlah dana tersebut iaitu sebanyak RM213,000, diperuntukkan kepada penyelidik Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM) UMT untuk memajukan komuniti setempat.
“Tahniah kepada FPSM yang telah berjaya memperoleh peruntukan ini, membuktikan keyakinan pihak kementerian terhadap keupayaan UMT dalam melaksanakan projek yang berteraskan inovasi sosial”
Pelaksanaan projek-projek itu dilihat berupaya memberi impak positif, bukan sahaja dari segi peningkatan taraf hidup komuniti tetapi juga dalam menyokong agenda kelestarian negara.
“Inisiatif ini seiring dengan usaha UMT dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk SDG 2 untuk pembasmian kelaparan dan SDG 17 bagi kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti”.
Profesor Marinah turut menzahirkan harapan agar pelaksanaan projek ini dapat mengukuhkan kedudukan UMT sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bukan sahaja berfokus pada penyelidikan akademik tetapi juga memenuhi tanggungjawab sosial.
“Kepercayaan ini adalah satu pengiktirafan kepada UMT untuk meneruskan komitmen kami dalam memberi impak positif kepada komuniti sekitar melalui pemindahan ilmu dan pembangunan kapasiti komuniti” Katanya.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu