Khamis, 15/05/2025
Share This Article :
KUALA NERUS, 14 Mei – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan budaya keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) melalui penganjuran Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Peringkat UMT Tahun 2025 yang berlangsung meriah dengan pelbagai pengisian ilmiah dan praktikal.
Program anjuran Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) UMT itu bertujuan untuk memupuk kesedaran warga kampus terhadap kepentingan KKP serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam persekitaran kerja harian.
Ia turut mendapat sokongan daripada beberapa agensi swasta yang menyumbang dalam bentuk kepakaran dan pameran berkaitan KKP.
Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Pendaftar UMT, Ts. Wan Abdul Manan Wan Abdullah, yang mewakili Naib Canselor UMT.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa institusi itu telah membangunkan polisi KKP yang menyeluruh sebagai teras utama dalam pentadbiran universiti.
“Kita di UMT sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan kesihatan dalam setiap penganjuran aktiviti. Pengurusan serta analisa risiko menjadi amalan standard di UMT, bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan terkawal sejajar dengan perkembangan teknologi dan cabaran baharu dalam sektor pendidikan tinggi” katanya.
Salah satu inisiatif penting sempena sambutan hari terbuka KKP kali ini ialah pelancaran rasmi laman sesawang UKKP UMT yang akan menjadi platform utama bagi medium penyampaian maklumat, pelaporan insiden serta sumber rujukan berkaitan dasar dan amalan KKP dalam kampus.
“Langkah ini diharap dapat memperluas capaian maklumat kepada semua warga universiti serta memperkukuh budaya kerja yang lebih sistematik dan responsif terhadap isu-isu keselamatan dan kesihatan”.
Tambah Ts. Wan Abdul Manan, penerapan budaya kerja selamat bukan hanya penting kepada staf, tetapi juga menjadi teladan kepada para pelajar serta masyarakat luar.
“UMT mahu mewujudkan satu ekosistem kerja yang sihat dan selamat yang bukan sahaja melindungi kakitangan, malah mencorak sikap serta kesedaran pelajar untuk membawa nilai ini ke luar kampus suatu hari nanti” jelas beliau.
Penganjuran itu juga turut memperkukuhkan peranan UMT sebagai institusi yang prihatin terhadap komuniti melalui pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial universiti (USR), khusus kepada pembantu makmal dari sekolah-sekolah sekitar.
“Mereka diberi pendedahan tentang amalan kerja selamat di makmal bagi meminimumkan risiko kecederaan dan kemalangan ketika mengendalikan bahan kimia serta peralatan sains”.
Penganjuran tahunan ini membuktikan komitmen UMT dalam menerapkan budaya kerja yang selamat, sihat dan mampan, seiring usaha membina kampus yang progresif serta menjadi model kepada institusi lain dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu