Khamis, 27/02/2025
Share This Article :
Kuala Nerus, 27 Februari – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus komited dalam memperkasa kebajikan mahasiswa serta melahirkan graduan holistik yang berdaya saing dalam pasaran kerja global.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain menegaskan bahawa aspek kesejahteraan pelajar menjadi antara keutamaan utama universiti dalam memastikan pengalaman pembelajaran yang kondusif dan berkualiti.
Menurut beliau, UMT telah merangka pelbagai inisiatif bagi memastikan mahasiswa mendapat sokongan yang mencukupi, termasuk bantuan kebajikan, peningkatan kemudahan kampus serta pelaksanaan program pembangunan diri yang bersifat holistik.
“Kita memahami bahawa mahasiswa adalah aset negara yang perlu diberi perhatian dari segi kebajikan dan pembangunan sahsiah. Oleh itu, UMT akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif kebajikan seperti bantuan kewangan, skim makanan percuma, serta sokongan kesihatan dan kaunseling,” katanya ketika Majlis Perutusan Timbalan naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT bertempat di Auditorium Sulaiman, UMT.
Beliau turut menekankan kepentingan pembinaan sahsiah diri serta kemahiran insaniah bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berkemahiran tinggi dan memiliki daya kepimpinan yang mantap.
“Pembangunan mahasiswa tidak hanya tertumpu kepada aspek akademik, tetapi juga melibatkan pembangunan karakter dan kepimpinan. UMT sentiasa memastikan pelajar didedahkan dengan program latihan, keusahawanan dan jaringan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka” tambahnya lagi.
Antara usaha yang giat dilaksanakan oleh universiti adalah memperkukuh hubungan dengan pihak industri melalui program latihan industri serta kolaborasi akademik yang membolehkan mahasiswa memperoleh pengalaman dunia sebenar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Selain itu, inisiatif berbentuk keusahawanan turut digalakkan dalam kalangan mahasiswa melalui program seperti Bingkas Kasih, UMT Start-Up serta Bimbingan Keusahawanan Mahasiswa yang memberi peluang kepada pelajar untuk membangunkan perniagaan mereka sendiri dengan bimbingan pakar industri.
“UMT ingin memastikan setiap graduan bukan sahaja mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian, tetapi juga mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri. Ini selaras dengan aspirasi kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing dan inovatif” katanya.
Komitmen berterusan yang dizahirkan UMT, Prof. Izani yakin pihaknya akan terus menjadi peneraju dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kebolehpasaran sekaligus menyumbang kepada pembangunan negara dalam jangka masa panjang.