UMT perkasa komuniti nelayan pesisir

Ahad, 10/11/2024

Share This Article :

Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sekali lagi memperkukuhkan komitmen terhadap masyarakat setempat dengan menggerakkan  inisiatif pemerkasaan komuniti nelayan pesisir, khususnya golongan nelayan tradisional dalam usaha mengangkat taraf ekonomi dan kehidupan mereka.

 

Inisiatif itu mencerminkan elemen “University for Society” yang menjadi teras UMT, menjadikan universiti bukan sahaja sebagai pusat pengajian tinggi, tetapi juga sebagai entiti yang menyantuni komuniti rentan melalui penyelidikan dan pemindahan ilmu yang menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Perkara ini juga selari dengan hasrat UMT sebagai peneraju ekonomi biru di Malaysia.

 

Program yang melibatkan seramai 30 orang nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara (PNKKTU) itu bertujuan mendapatkan maklumat tentang isu dan cabaran yang dihadapi oleh golongan nelayan serta berkongsi idea tentang jalan penyelesaian yang boleh di ambil kira.

 

Dalam usaha memperkukuh program  itu, UMT turut menjalin kerjasama dengan penyelidik dari dua buah universiti terkemuka di Indonesia, Telkom University dan Universitas Brawijaya bagi menambah nilai melalui pendekatan jalinan strategik antarabangsa.

 

Menurut Pengarah Program, Dr. Moe Shwe Sin, program khas itu untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh nelayan pesisir dalam aktiviti penangkapan ikan.

 

“Nelayan merupakan golongan rentan yang amat penting untuk ekosistem makanan kita. Sokongan pelbagai pihak diperlukan bagi memastikan kelangsungan mereka dalam menyediakan sumber protein kepada masyarakat setempat.”

 

Katanya, selain pengenalan berkaitan literasi kewangan kepada nelayan, sesi dialog khas juga diadakan bagi mengenal pasti isu utama yang menghalang mereka daripada memperoleh pulangan yang setimpal daripada hasil tangkapan.

 

“Maklum balas daripada para nelayan  itu akan dibentangkan kepada pihak berwajib untuk penilaian lanjut. Langkah  itu diharap dapat menjadi titik tolak kepada penyelesaian masalah yang membelenggu kumpulan nelayan pesisir, terutamanya dalam menghadapi tekanan ekonomi sebagai sebahagian daripada golongan B40”.

 

Antara isu utama yang dihadapi oleh nelayan tempatan adalah kerosakan kawasan unjam dan tukun akibat pukat tunda yang tidak diambil semula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Roslan Mohamed, 52, dan Mohd Suffla, 45, nelayan dari kawasan Batu Rakit, meluahkan kekesalan mereka mengenai isu tersebut, yang menurut mereka telah mengurangkan hasil tangkapan dengan drastik.

 

“Kawasan yang dahulunya banyak dengan ikan itu kini seolah-olah tiada hidupan,” ujar mereka.

 

“Pukat tunda yang digunakan nelayan zon lain tersangkut dan ditinggalkan di kawasan tukun dan unjam sering kali menjerat ikan-ikan tanpa diambil semula, ia bukan sahaja merugikan sumber laut, malah ikan yang mati terbiar di kawasan tukun dan unjam itu menjadi penghalang untuk ikan lain datang ke kawasan tersebut”. Katanya senada.

 

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu