Isnin, 23/06/2025
Share This Article :
Pulau Pinang, 16 Jun 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang logistik dan maritim negara dengan penganjuran International Logistics Symposium & Logistics Industrial Forum (ILS & LIF) 2025, edisi ketiga yang berlangsung di The Ship Campus, Batu Kawan.
Penganjuran itu membuktikan komitmen UMT untuk melonjakkan Malaysia ke hadapan sebagai hab logistik terulung di peringkat ASEAN.
Bertemakan “AI & Automation: Paving the Path for Malaysia to Become ASEAN’s Leading Logistics Hub”, penganjuran itu menjadi platform strategik untuk menyatukan kerjasama antara akademia, industri dan agensi Kerajaan sejajar dengan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025 khususnya dalam aspek penyediaan bakat terbaik negara bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri Keempat (IR4.0) dan pembangunan ekonomi berteraskan inovasi.
Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapannya menyatakan bahawa UMT kini berada di barisan hadapan dalam memperkasakan bidang tujahan logistik dan maritim sebagai antara teras kekuatan universiti.
Beliau menekankan bahawa UMT memanfaatkan semua saluran dalam bidang sains marin dan maritim untuk melahirkan tenaga pakar logistik yang bukan sahaja teknikal, tetapi juga adaptif kepada perubahan teknologi dan tuntutan pasaran kerja.
“UMT sedang melabur dalam program rentas disiplin dalam bidang logistik, pembangunan kurikulum yang relevan dengan industri dan penyelidikan strategik yang membawa kepada aplikasi komersial. Kami tidak hanya ingin mencipta ilmu tetapi menyumbang terus kepada penyelesaian masalah industri sebenar”.
Beliau turut mengumumkan penubuhan Malaysia Logistics Consortium (MLC) iaitu sebuah inisiatif yang diterajui UMT yang menyatukan 16 institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk politeknik, kolej komuniti dan institusi swasta bagi memperkukuh kolaborasi antara akademia, industri dan kerajaan.
“Inisiatif ini juga bertindak sebagai platform penyelidikan dan inovasi berasaskan keperluan sebenar industri logistik dalam melahirkan bakat logistik berkemahiran tinggi, berpandangan jauh dan bersedia menghadapi cabaran teknologi masa depan”.
Menurutnya, penubuhan konsortium itu bukan hanya sebagai wahana pemindahan ilmu dan teknologi, tetapi juga menjadi teras kepada ekosistem logistik nasional yang lebih dinamik dan berdaya tahan.
Kira-kira lebih 400 peserta daripada institusi pengajian tinggi, industri dan agensi Kerajaan menyertai ILS & LIF 2025 sekali gus menjadi pentas strategik dalam menghubungkan akademia dengan realiti dan keperluan semasa industri logistik.
Penganjuran itu mendapat sokongan erat daripada universiti awam serta syarikat logistik terkemuka, PKT Logistics Group Sdn Bhd selaku penaja utama penganjuran program.
Seiring dengan Pelan Strategik UMT, bidang logistik dan maritim dikenal pasti sebagai salah satu bidang tujahan utama (niche area) yang akan diperkasakan melalui pemerkasaan kurikulum berasaskan industri (Industry-Driven Curriculum) dalam bidang logistik, pengangkutan dan rantaian bekalan.
Pelaksanaan itu juga menyokong aspirasi Malaysia menjadi nadi logistik serantau ASEAN melalui pembangunan bakat, pemikiran strategik dan penerapan teknologi AI serta automasi dalam operasi logistik kebangsaan.
“Dengan gabungan kekuatan akademik, inovasi berimpak tinggi dan jaringan industri yang kukuh, UMT bersedia untuk memacu Malaysia menjadi hab logistik utama ASEAN sekali gus memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai agen perubahan negara”. Katanya.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu