UMT peruntuk Biasiswa RM650,343, Tarik minat pelajar antarabangsa
Ahad, 26/2/2026
Share This Article :
KUALA NERUS, 2 April 2026 — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan dana biasiswa berjumlah RM650,343 melibatkan 60 pelajar pasca siswazah menerusi inisiatif Biasiswa Naib Canselor UMT (UMTVC) dan Diskaun Alumni UMT sebagai usaha memperkukuh kecemerlangan akademik serta meningkatkan daya saing universiti di peringkat global.
Naib Canselor UMT, Mohd Zamri Ibrahim berkata pihaknya komited memastikan peruntukan berkenaan dimanfaatkan secara strategik dengan penggunaan semasa sebanyak RM172,260, manakala baki RM478,083 akan difokuskan khusus kepada pelajar antarabangsa dalam bidang Sains dan Sains Sosial.
“Untuk maksimakan inisiatif ini, UMT memberi penekanan terhadap pengagihan yang bersasar agar dapat menarik lebih ramai pelajar antarabangsa berkualiti tinggi sekali gus memperkukuh ekosistem akademik universiti,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan aspirasi UMT untuk memperkasakan kecemerlangan akademik serta meningkatkan reputasi institusi di peringkat antarabangsa.
Penerima biasiswa, Nur Aleya Farisha Norihan, 24, pelajar Sarjana Sains (Material Chemistry) menyifatkan bantuan itu sebagai dorongan penting dalam melanjutkan pengajian.
“Bantuan kewangan seperti ini sangat membantu saya dari segi pengurusan perbelanjaan dan juag motivasi. Ia membolehkan saya fokus sepenuhnya pada penyelidikan dan projek akademik tanpa risau soal kos pengajian,” kata Nur Aleya.
Dalam pada itu, UMT turut menawarkan program pengajian fleksibel yang disesuaikan dengan keperluan serta keselesaan pelajar khususnya bagi mereka yang berdepan dengan kekangan atau isu peribadi bagi memastikan kelangsungan pembelajaran dapat diteruskan tanpa halangan.
Selain itu, universiti berkenaan mempergiat pelaksanaan Open Distance Learning (ODL) sebagai alternatif pembelajaran yang lebih anjal dan mudah diakses sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk melanjutkan pengajian.
Menurutnya, UMT juga sedang mengkaji pelaksanaan konsep ‘Stackable Degree’ bagi memperluas penawaran program akademik serta meningkatkan kemasukan pelajar secara lebih fleksibel dan berperingkat.
“UMT mensasarkan kemasukan seramai 1,500 pelajar pascasiswazah menjelang tahun 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kapasiti penyelidikan dan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi,” katanya.
Tambah beliau, semua inisiatif itu dilaksanakan sejajar dengan visi jangka panjang UMT untuk muncul sebagai antara 50 universiti terbaik di Asia serta berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu