 
															 
															Thursday, 30/10/2025
Share This Article :
KUALA NERUS – Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu merangkap Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UMT Ke-23 Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT, di sini.
Istiadat yang penuh bermakna itu menyaksikan seramai 2,539 graduan diraikan atas kejayaan menamatkan pengajian masing-masing dalam pelbagai bidang ilmu.
Daripada jumlah tersebut, 254 orang merupakan graduan pasca siswazah, manakala 2,285 orang lagi terdiri daripada graduan prasiswazah.
Seramai 425 graduan turut menerima Ijazah Kelas Pertama menggambarkan kecemerlangan akademik berterusan universiti berfokus marin negara itu yang terus melahirkan graduan berilmu, berintegriti dan berdaya saing tinggi.
Konvokesyen UMT ke-23 turut mencatat sejarah apabila 18 graduan sulung daripada program Sarjana Muda Sains Gunaan Nanofizik dengan Kepujian diraikan buat kali pertama.
Kejayaan itu membuktikan komitmen UMT dalam memperluas bidang sains dan teknologi sejajar dengan keperluan semasa serta perkembangan industri berasaskan penyelidikan dan inovasi.
Majlis berprestij itu turut menyaksikan penyampaian pelbagai anugerah kecemerlangan akademik sebagai pengiktirafan terhadap kegigihan dan dedikasi graduan sepanjang pengajian.
Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) disampaikan kepada Mohamad Izuwansah Ishak, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan) dengan Kepujian, Fakulti Sains Perikanan dan Akuakultur (FSPA) bagi kategori Bumiputera dan Alina A/P Pannirselvam graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim) dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Maritim (FPM) bagi kategori bukan bumiputera.
Anugerah Pingat Emas Canselor pula dianugerahkan kepada Logenthiran A/L Velaventhan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dengan Kepujian, Fakulti Pengurusan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS).
Sementara itu, Anugerah Pro-Canselor diberikan kepada dua penerima peringkat Doktor Falsafah iaitu Muhamad Syaizwadi Shaifudin (Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan) bagi kategori Sains dan Ramizatunnisah Jais (Fakulti Pengurusan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial) bagi kategori Sains Sosial.
Turut diumumkan penerima Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti iaitu Siti Nur Hanani Zainuddin (Ijazah Sarjana Sains Marin, Institut Oseanografi dan Sekitaran – INOS) serta Ahmad Hakimi Abdul Halim (Ijazah Sarjana Ekonomi, FPEPS).
Anugerah Khas PTPTN pula disampaikan kepada Lt. Muda Pertahanan Awam Mohammad Aiman Amsyar Zakir (FPM) dan Faye Stephenia anak Jellom (Fakulti Sains dan Sekitaran Marin – FSSM).
Dalam ucapannya, Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim menegaskan universiti terus memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan sejajar dengan hala tuju negara dalam memperkasa sektor makanan, perikanan dan teknologi maritim.
“UMT kini menawarkan 36 program akademik peringkat sarjana muda dan mulai Oktober 2025, tiga program baharu diperkenalkan di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan (FTKK) serta satu program dijenamakan semula di bawah FSMA. Dua lagi program baharu bakal diperkenalkan bagi pengambilan Oktober 2026 bagi memperluaskan lagi peluang pendidikan dalam bidang berimpak tinggi,” ujarnya.
Menariknya, UMT turut memperkenalkan Dasar Bahasa Ketiga bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan di peringkat antarabangsa. Antara bahasa yang ditawarkan ialah Bahasa Arab, Jerman, Korea, Jepun, Mandarin, Sepanyol dan Perancis.
Selaras dengan era pendigitalan, UMT juga melangkah seiring kemajuan teknologi dengan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran dan pembelajaran.
Bermula Oktober 2025, Kursus Asas AI dijadikan kursus teras universiti kepada semua pelajar, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menekankan pembangunan bakat masa hadapan berteraskan inovasi dan teknologi.
“Namun begitu, saya suka mengingatkan graduan bahawa penerapan AI perlu berlandaskan prinsip etika yang jelas serta garis panduan yang bertanggungjawab, agar penggunaannya tidak disalahgunakan. Dengan gabungan ilmu, etika dan teknologi, graduan kita akan mampu menghadapi cabaran teknologi dengan penuh keterampilan” Katanya.