Monday, 21/04/2025
Share This Article :
Kuala Nerus, 17 April – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan tradisi kebersamaan dan keprihatinan melalui penganjuran Majlis Selembar Kasih Aidilfitri 1446H, yang berlangsung meriah di Dewan Sultan Mizan hari ini. Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran hampir 80 anak-anak yatim dan asnaf dari sekolah sekitar UMT serta dalam kalangan warga universiti.
Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dan bersama-sama menjayakan pelbagai inisiatif kebajikan sepanjang Ramadan lalu dan sambutan Syawal ini.
“Saya amat berbesar hati dan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para dermawan budiman, sama ada warga UMT atau pihak luar yang telah menyumbang. Ini menyuburkan budaya memberi dan empati selaras dengan rukun ihsan Malaysia Madani,” ujar beliau.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk sumbangan sebanyak RM115,265.00 kepada Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM), yang telah diagihkan kepada 50 penerima asnaf terpilih melalui program iftar dan Festival Ramadan. Sementara itu, UMT Ihsan turut menyalurkan bantuan berjumlah RM65,200.00 hasil kerjasama dengan Nestle Malaysia dan Etiqa Family Takaful, serta RM24,500.00 daripada Tabung Zakat UMT.
Majlis itu turut meraikan wakil Komuniti Kampung Menerong, Hulu Terengganu, yang merupakan Kampung Angkat Madani UMT di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani (KAM) yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.
“Program KAM bertujuan merapatkan jurang antara desa dan bandar. Saya berharap para penyelidik dan warga UMT dapat menyumbang kepakaran dalam pelaksanaan program berbentuk pemindahan ilmu dan kesukarelawanan,” jelas beliau lagi.
Dalam majlis sama, Prof. Dr. Mohd Zamri turut memaklumkan mengenai pelaksanaan Sistem Parkir Berpusat yang sedang diuji selama satu semester bermula 16 Mac 2025, sebagai sebahagian inisiatif Go Green UMT dan pelaksanaan Blueprint Kampus Lestari.
UMT menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dan kemudahan laluan pejalan kaki bagi memudahkan pergerakan warga kampus, selain mempergiat penambahbaikan laluan berbumbung dan laluan basikal secara berfasa.
Naib Canselor turut menegaskan bahawa pihak universiti khususnya melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) sentiasa terbuka untuk berbincang bagi menambah baik pelaksanaan sistem ini khususnya dalam kalangan pelajar.
“Walaupun sumbangan ini kecil, namun saya percaya ia cukup bermakna buat anak-anak ini. Semoga Aidilfitri kali ini menjadi titik tolak kepada semangat kebersamaan yang lebih kukuh antara UMT dan masyarakat,” kata beliau mengakhiri ucapan.