UMT Sambut Hari Lestari, pupuk amalan sifar sisa

Isnin, 05/05/2025

Share This Article :

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyahut inisiatif global sempena Hari Sifar Sisa (Zero Waste Day) 2025 dengan menganjurkan program Zero Waste Market bersempena sambutan Hari Lestari peringkat UMT.

 

Hari Antarabangsa Sifar Sisa yang dicadangkan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) dan UN-Habitat bertujuan memperkukuh pengurusan sisa di peringkat global dan menggalakkan corak penggunaan serta pengeluaran yang lebih lestari.

 

Menurut data UNEP, sebanyak 2.1 hingga 2.3 bilion tan sisa pepejal bandar dihasilkan setiap tahun dan jumlah itu dijangka mencecah 3.8 bilion tan menjelang 2050 jika tiada tindakan diambil segera.

 

Selaras dengan seruan itu, sambutan Hari Lestari UMT 2025 membawa tema “Ke Arah Sifar Sisa dalam Fesyen dan Tekstil” yang menekankan keperluan mengurangkan sisa daripada sektor fesyen dan tekstil yang antara penyumbang utama pencemaran global selain mempromosikan konsep ekonomi kitaran dan kelestarian dalam industri berkenaan.

 

Penganjuran Zero Waste Market yang dianjurkan oleh Pusat Pengurusan Lestari (PPL) UMT dengan tema “Menjaga Alam, Menjaga Masa Depan” mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus.

 

Program sehari itu bermula seawal jam 8.00 pagi mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik seperti Car Boot Sale, Flea Market dan Trash to Cash.

 

Ketua Pusat Pengurusan Lestari UMT, Prof. Madya Dr. Chia Poh Wai berkata, program itu bukan sekadar platform untuk jual beli barangan baharu dan terpakai, tetapi turut memupuk kesedaran tentang pentingnya amalan kitar semula dan pengurangan pembaziran dalam kalangan pelajar serta komuniti kampus.

 

Sebagai simbolik komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, pihak UMT turut menyerahkan Climate Action Plan kepada tiga rakan kerjasama utama iaitu Everlantern Sdn. Bhd., SWCorp Sdn. Bhd., dan Jabatan Alam Sekitar. Ketiga-tiga agensi ini turut menyumbang melalui pelbagai bentuk sokongan seperti kepakaran teknikal, sumbangan barangan dan dorongan moral.

 

“Zero Waste Market menjadi bukti usaha kolektif UMT dalam memperkasakan budaya lestari, sekali gus menyumbang kepada agenda alam sekitar di peringkat nasional dan global. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan untuk manfaat bersama,” katanya.

 

Penganjuran itu bukan sahaja mencerminkan komitmen UMT dalam mendidik warga kampus mengenai kepentingan kelestarian, malah memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai agen perubahan dalam mendepani cabaran alam sekitar masa kini.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu