UMT sebar kempen elak plastik sekali guna demi kelestarian alam

Ahad, 24/11/2024

Share This Article :

Lambakan sisa plastik kini berada pada tahap kritikal yang akan memberi kesan buruk bukan sahaja terhadap sistem pengurusan sisa negara tetapi juga merosakkan ekosistem global. Menurut laporan oleh Penyedia perkhidmatan tenaga berpangkalan di United Kingdom, Malaysia merupakan salah satu daripada sepuluh negara penyumbang pencemaran plastik tertinggi di dunia, situasi yang amat membimbangkan.

Penggunaan plastik yang tidak terkawal sering dikaitkan dengan sikap pengguna yang mementingkan kesenangan tanpa memikirkan kesan jangka panjang kepada alam sekitar dan generasi akan datang. Menyedari bahaya ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Pembangunan Lestari dan Green Ranger UMT mengambil inisiatif mempergiatkan kempen kesedaran awam tentang bahaya penggunaan plastik sekali guna.

Ketua projek, Dr. Izan Jaafar, berkata kempen “Let’s Refuse Plastic at Pasar” dilancarkan untuk memupuk kesedaran masyarakat tentang pentingnya mengelakkan penggunaan plastik sekali guna demi menjaga kelestarian alam.

“Sisa plastik ini kebanyakannya berpunca daripada plastik sekali guna yang dibuang sembarangan. Ia akhirnya dihanyutkan ke sungai dan seterusnya ke lautan, merosakkan ekosistem marin,” katanya.

Tambahnya, plastik mengambil masa ratusan tahun untuk terurai dan memberi kesan buruk kepada hidupan marin seperti penyu, burung laut dan ikan yang tidak sengaja memakan cebisan plastik. Ini menyebabkan kerosakan besar pada ekosistem akuatik yang menyokong kehidupan manusia.

Menurut Garis Panduan Sistem Penstoran Sisa Pepejal Bagi Pembangunan Baharu 2022, pasar tani dan pasar malam menyumbang sebanyak 0.586 kg/m² sisa dan sebahagian besar daripadanya adalah plastik. Kurangnya kesedaran sivik dan mentaliti pengguna yang memandang enteng terhadap isu pengurusan sisa adalah faktor utama perlu ditangani dengan pendekatan yang holistik.

Sebagai langkah awal, kempen itu dijalankan di pasar tani kerana lokasi itu dikenalpasti sebagai kawasan tinggi penggunaan plastik.

“Dengan penglibatan 60 peserta, termasuk pelajar sekolah, NGO, pelajar UMT dan pihak kerajaan negeri, kempen ini bertujuan menggalakkan alternatif seperti menggunakan bekas mesra alam dan beg yang boleh diguna semula dan kita turut mengagihkannya semasa kempen ini dijalankan”.

Dr. Izan turut menekankan peranan penting kanak-kanak dan golongan muda dalam usaha mengurangkan pencemaran plastik.

“Menyemai amalan mesra alam seperti kitar semula dan penggunaan produk mesra alam dari usia muda adalah langkah penting kerana ia bukan sahaja membantu mengurangkan sisa plastik tetapi juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB seperti SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air),” jelasnya.

Sebagai sebuah universiti yang terkemuka dalam kajian marin dan alam sekitar, UMT bertekad menjadi peneraju dalam memerangi pencemaran plastik.

Melalui pelbagai program kesedaran seperti ini, UMT berhasrat untuk memperkukuhkan komitmen masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar sekaligus memperlihatkan kesungguhan UMT dalam mendidik komuniti untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih mampan.


Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu