UMT terima WCFC canggih pertama di Malaysia, Perkukuh Keupayaan Penyelidikan Marin
Rabu, 11/2/2026
Share This Article :
KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh keupayaan penyelidikan marin negara menerusi perolehan kemudahan berteknologi tinggi, Wave Circulation Flume Channel (WCFC) sekali gus meletakkan universiti itu pada kedudukan strategik sebagai pusat rujukan dalam bidang kejuruteraan marin dan maritim.
Perkembangan itu diumumkan buat kali pertama ketika lawatan rasmi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Anesee Ibrahim ke kemudahan WCFC yang turut diiringi Timbalan Ketua Setiausaha KPT baru-baru ini.
Ketibaan delegasi disambut Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim bersama barisan Pengurusan Tertinggi Universiti serta Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Lautan (FTKK).
Menurut Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri, pemilikan aset WCFC merupakan satu pelaburan strategik universiti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, penyelidikan dan inovasi marin negara.
“Kemudahan WCFC ini bukan sahaja mempertingkat keupayaan penyelidikan berimpak tinggi UMT, malah menjadi platform penting untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri maritim dan luar pesisir,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan bersepadu itu turut membuka ruang lebih luas kepada kolaborasi penyelidikan bersama industri, agensi kerajaan serta rakan antarabangsa dalam bidang kejuruteraan marin, pesisir pantai dan teknologi lautan.
Pentauliahan WCFC menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur akademik dan penyelidikan bertaraf dunia UMT, khususnya dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi marin.
Kemudahan tersebut diperoleh melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang menumpukan pembangunan fasiliti penyelidikan termaju selaras dengan keperluan negara dan cabaran industri masa hadapan.
WCFC milik UMT merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan kecerdasan penjanaan ombak, peredaran arus, penjanaan angin, keupayaan penundaan serta aliran terkawal dalam satu sistem eksperimen tunggal.
Konfigurasi bersepadu itu membolehkan pemodelan fizikal persekitaran marin yang lebih realistik, termasuk simulasi ombak sekata dan tidak sekata serta arus boleh kawal bagi meniru keadaan sebenar lautan dan pesisir pantai dalam persekitaran makmal.
Dari sudut akademik, kemudahan tersebut menyokong secara langsung pengajaran dan pembelajaran bagi beberapa program utama UMT, termasuk Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi Maritim), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Senibina Kapal) serta program ‘Dual Degree’.
Selain itu, WCFC turut dibuka untuk penggunaan bersama fakulti dan pusat tanggungjawab lain di UMT bagi menggalakkan kolaborasi antara disiplin merangkumi kejuruteraan, sains marin dan alam sekitar.
Dalam aspek penyelidikan dan perundingan, kemudahan itu berupaya menyokong kajian seperti ujian rintangan kapal, eksperimen Planar Motion Mechanism (PMM), analisis sistem tambatan, pengangkutan sedimen, kejuruteraan pesisir dan hidraulik serta penyelidikan tenaga boleh diperbaharui marin.
UMT menyifatkan pentauliahan WCFC sebagai satu lonjakan besar terhadap keupayaan eksperimen universiti, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan kejuruteraan maritim dan lautan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.