UMT tuan rumah penganjuran SAM2025

Isnin, 10/02/2025

Share This Article :

KUALA TERENGGANU, 9 Februari – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berjaya menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Sukan Asasi Malaysia Kali Ke-8 (SAM2025), yang berlangsung dengan penuh aksi serta semangat kesukanan di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT. 

 

Majlis penutupan kejohanan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMT, YBrs. Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua atlet, pegawai dan sukarelawan yang menjayakan kejohanan itu.

 

Menurut beliau, SAM2025 bukan sekadar medan untuk menonjolkan bakat sukan dalam kalangan pelajar asasi, tetapi juga bertujuan membentuk sahsiah, memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan lagi hubungan antara institusi pendidikan tinggi di Malaysia. 

 

“Kejohanan ini memberikan peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat, meningkatkan disiplin dan membangunkan semangat berpasukan. Saya percaya penglibatan pelajar asasi dalam sukan bukan sahaja memberi kelebihan dalam bidang akademik tetapi juga membentuk graduan yang lebih dinamik dan holistik,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan SAM2025.

 

Penganjuran SAM2025 mendapat sokongan penuh daripada Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam Malaysia dengan kerjasama Pusat Asasi STEM (PASTEM) UMT, Pusat Sukan dan Rekreasi UMT serta beberapa rakan strategik seperti Majlis Sukan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. 

 

Selain itu, hampir 200 pelajar Asasi STEM tajaan Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyumbangkan tenaga sebagai sukarelawan sepanjang kejohanan berlangsung. 

 

Kejohanan yang selama dua hari bermula pada 7 Februari lalau disertai oleh kontinjen dari pelbagai institusi termasuk Asasi Universiti Awam Malaysia, Politeknik Malaysia dan Matrikulasi Kelantan. Pelbagai acara sukan telah dipertandingkan, menyaksikan persaingan sengit antara peserta dalam usaha merebut gelaran juara. 

 

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang berjaya menjulang kejuaraan dalam kejohanan ini. Namun, lebih penting daripada kemenangan adalah semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua peserta. Setiap pengalaman, sama ada pahit atau manis, adalah satu pelajaran yang berharga,” Ujar Prof. Zamri. 

 

Beliau turut berharap agar kejohanan seperti ini terus diadakan pada masa akan datang untuk memperkasakan pembangunan sukan di peringkat asasi dan seterusnya ke peringkat lebih tinggi.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu