Rabu, 20/11/2024
Share This Article :
Kuala Nerus, 18 November 2024 – Memahami keperluan mendesak untuk melindungi ekosistem marin yang semakin terancam, Research Interest Group (RIG) REEFS, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), diketuai oleh Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Program Pendidikan & Kesedaran Marin REEFS 2024. Bertempat di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya melindungi ekosistem marin yang menjadi khazanah alam semulajadi negara.
Bekerjasama dengan organisasi seperti The International SeaKeepers Society, Aquawalk Sdn Bhd dan Kapas Conservation Society, program itu menggabungkan elemen pendidikan, kesedaran dan libatsama komuniti khususnya pelajar sekolah.
Kira-kira 200 pelajar dari 10 sekolah terpilih sekitar Terengganu turut serta dalam aktiviti menarik seperti pertandingan “Waste to Wealth” bagi menguji kreativiti mereka untuk menukar sisa kepada produk berguna.
Selain itu, turut diselitkan aktiviti berbentuk sukaneka santai yang mengukuhkan hubungan komuniti sambil menyampaikan mesej pemuliharaan alam sekitar.
Keindahan dan kepentingan ekosistem marin akan diterokai melalui pelbagai aktiviti pendidikan. Selain menjadi simbol keindahan semulajadi, ekosistem marin memainkan peranan penting dalam keseimbangan biodiversiti dunia dan kelangsungan rantaian makanan global. Namun, ancaman seperti pemanasan global, pencemaran plastik dan aktiviti manusia yang tidak terkawal terus memburukkan lagi keadaan terumbu karang.
Kajian terkini oleh penyelidik UMT menunjukkan kadar kehilangan karang hidup di Malaysia adalah sekitar 1 peratus setahun, manakala fenomena kelunturan karang besar-besaran (mass coral bleaching) baru-baru ini mengakibatkan kematian batu karang di perairan Terengganu pada kadar antara 30 hingga 50 peratus.
“Pemanasan global menyebabkan peningkatan suhu air laut, mengakibatkan kelunturan karang apabila karang kehilangan alga simbiosis yang memberikan warna dan nutrisi kepadanya,” jelas Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong.
“Selain itu, peningkatan asidifikasi laut dan pencemaran bahan kimia serta plastik juga mengancam kehidupan marin itu.”
Tambahnya, pemuliharaan ekosistem marin tidak hanya berkisar kepada biodiversiti, tetapi turut memberi kesan besar kepada sektor ekonomi, perubatan dan bioteknologi.
Penganjuran kempen itu memperlihatkan sumbangan pelajar jurusan Biologi Marin UMT yang terlibat secara langsung, menunjukkan komitmen universiti dalam mendidik masyarakat untuk lebih menghargai manfaat besar yang ‘dihidangkan’ oleh lautan kepada kehidupan seharian.
“Hanya dengan kesedaran dan tindakan kolektif, kita dapat menjamin kelangsungan ekosistem marin untuk generasi akan datang”. Katanya.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu