Usaha meletakkan UMT dalam senarai Universiti Marin Terkemuka

Ahad, 09/03/2025

Share This Article :

Kuala Nerus, 6 Mac– Matlamat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk meletakkan universiti itu dalam senarai universiti marin terkemuka adalah untuk menjadikan UMT sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pendidikan yang berkaitan dengan alam marin, lautan, dan teknologi marin.

Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, UMT berhasrat untuk memberikan sumbangan yang signifikan dalam usaha melestarikan sumber marin serta memajukan ilmu pengetahuan dalam bidang perikanan, bioteknologi marin, ekosistem laut, dan sebagainya.

Tambahnya dengan fokus utama pada bidang marin dan lautan, UMT berusaha untuk menjadi pakar rujuk dalam penyelidikan dan inovasi, dengan tujuan meningkatkan pemahaman global terhadap ekosistem laut serta menyediakan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi oleh industri marin.

“UMT juga berusaha untuk mengembangkan hubungan antarabangsa dengan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, dan sektor swasta bagi memperkukuhkan pengaruhnya di peringkat global.

“Usaha UMT mengukuhkan kedudukan membuahkan hasil melalui penarafan di peringkat antarabangsa apabila tersenarai di kedudukan 195 terbaik dalam QS Asia University Ranking. Malah UMT turut tersenarai pada kedudukan 251-300 dalam The Young University Rankings dan berada pada kedudukan ke 160 dalam UI Green Metric World University Rankings. Kita juga mendapat pelbagai pengiktirafan dan kedudukan dalam penilaian peringkat antarabangsa yang lain”. 

Tambahnya bagi mengikuti perkembangan arus teknologi, UMT turut memperkenalkan Program Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan kepada seluruh warga universiti.

Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata ia merupakan satu usaha menyahut seruan kerajaan untuk memastikan setiap warga memiliki kemahiran dalam teknologi AI.

“Malah UMT telah memperkenalkan subjek atau modul AI ini kepada semua pelajar dan ia menjadi kursus wajib sebelum mereka bergraduasi. Mereka perlu mahir mendalami ilmu berkaitan AI bukan sahaja kepada pelajar, tetapi untuk staf juga.

“Pelaksanaan subjek ini secara wajib bermula semester akan datang (Oktober). Buat masa ini, kita cuma buat secara elektif dahulu yang kita tawarkan secara ‘micro credential’, jadi bila-bila masa sahaja pelajar boleh mengikuti program tersebut secara dalam talian.

“Untuk staf pula, program ini sudah bermula melalui bahagian bakat staf yang kita perkasakan.

“Latihan ini bertujuan memberi pendedahan AI dalam bidang yang lebih spesifik, seperti pendidikan adaptif, pengurusan pintar dalam universiti, dan analisis ramalan untuk membantu perancangan strategik,” katanya.

Dalam pada itu, UMT telah menyasarkan sebanyak lapan tumpuan dan 45 strategi yang perlu dilaksanakan seluruh warganya bagi tahun 2025 bertujuan mengangkat UMT sebagai Universiti Marin Berfokus.

Banyak perkara yang dirancang antaranya untuk menyokong kriteria Universiti Marin Berfokus seperti menawarkan program akademik yang baharu berkaitan industri marin.

“Antaranya Sarjana Muda Pengurusan Perkapalan dan Pelabuhan, Sarjana Muda Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan, dua program yang dicadangkan untuk ditawarkan bagi mengukuhkan institusi ini sebagai universiti marin,” katanya usai menyempurnakan Majlis Perutusan Naib Canselor 2025 yang membawa tema ‘Memperteguh Kebersamaan ke Arah Universiti Marin Terkemuka’ di Dewan Sultan Mizan.

—————————————————————————————————————-

Latar belakang UMT

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bermula sebagai Pusat Perikanan dan Sains Samudera di bawah Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada 1979 sebelum dinaik taraf menjadi kampus cawangan UPM pada 1996. Pada 1999, ia menjadi Kolej Universiti Terengganu (KUT), kemudian Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) pada 2001, seterusnya dijenamakan sebagai UMT pada 2007. UMT kini terkenal dalam penyelidikan kelautan, biodiversity dan bioteknologi marin serta bidang pengajian lain termasuk maritim, pengajian perniagaan serta sains sosial. UMT secara aktif memainkan peranan dalam Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan khidmat kepada komuniti. Dengan lokasi strategik di pesisir Laut China Selatan, UMT terus berkembang seiring dengan wawasan negara demi kemajuan akademik, penyelidikan dan pembangunan masyarakat.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

6 Mac 2025