WANITA PERKASA PENGGERAK NEGARA

Rabu, 30/04/2025

Share This Article :

Sumbangan wanita dalam pembangunan negara kini bukan lagi sekadar pelengkap, malah menjadi penggerak utama yang memperkukuh kemajuan negara. Hari ini, wanita bukan sahaja berdiri sama tinggi dengan lelaki dalam pelbagai sektor, malah terbukti mampu menghasilkan produktiviti lebih cemerlang dan berkualiti.

Statistik menunjukkan penglibatan wanita dalam bidang profesional dan pengurusan semakin ketara. Ini sejajar dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui Pelan Pembangunan Mampan (SDG 5) yang menetapkan sasaran kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita menjelang tahun 2030.

Empat subindeks utama yang mengukur kemajuan ini iaitu peluang dan penyertaan ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kehidupan serta penguasaan politik dilihat semakin menonjol dengan pelbagai pencapaian wanita negara ini.

Malaysia turut memperlihatkan komitmen serius dalam memperkasa wanita menerusi sokongan terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW). Kini, bidang yang dahulunya dianggap eksklusif untuk lelaki seperti kejuruteraan, penyelidikan saintifik dan kepimpinan korporat telah diterokai dengan cemerlang oleh kaum wanita di Malaysia.

Lebih membanggakan, wanita kini diberi kepercayaan menerajui agensi kerajaan, syarikat multinasional dan organisasi masyarakat sivil. Perubahan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi satu gelombang yang mengubah landskap kepimpinan negara.

Tokoh penyelidik wanita dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Wan Iryani Wan Ismail berkongsi kisah kejayaannya yang sarat inspirasi dalam program Bual Bicara Wanita sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat UMT.

“Kejayaan saya hari ini adalah hasil sokongan dan pengorbanan, terutamanya daripada keluarga. Saya dan suami yang juga pensyarah, berhadapan cabaran besar dalam membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Namun, dengan iltizam dan disiplin, semuanya mampu diatasi,” ujarnya penuh semangat.
Beliau turut menegaskan bahawa wanita bukan hanya berperanan di rumah, malah turut menyumbang dalam bentuk penyelidikan yang memacu kemajuan universiti, memperkasakan komuniti dan menjana ekonomi setempat.

“Saya masih ingat saat masuk ke hutan demi mendapatkan sampel kajian. Ia bukan mudah, tetapi apabila hasilnya dimanfaatkan oleh pelajar generasi baharu, segala penat lelah itu sangat berbaloi,” katanya.

Sementara itu, Dr. Sharifah Marzety Adibah Al-Sayed Mohamad pula membuktikan bahawa semangat wanita tidak pernah luntur walau diuji. Bekas pensyarah UMT itu kini bergelar usahawan berjaya dalam bidang tanaman ros, meskipun pernah diuji dengan masalah kesihatan yang memaksa beliau meninggalkan kerjaya akademik.

“Kesihatan saya merosot, tetapi keinginan untuk terus berjaya tidak pernah padam. Tanaman ros bukan hanya sumber rezeki, tetapi juga terapi jiwa. Saya percaya, sebagai wanita, kita mampu mencipta ruang kejayaan dengan cara kita sendiri” katanya penuh semangat.

Kisah wanita-wanita hebat itu adalah bukti bahawa kejayaan tidak mengenal jantina, tetapi memerlukan ketekunan, keberanian dan sokongan yang berterusan. Semoga ia menjadi inspirasi buat semua, khususnya generasi muda untuk terus melangkah gagah dan mencipta kejayaan yang lebih gemilang.