Isnin, 30/3/2026
Kongsikan Artikel Ini:
KOTA TINGGI, 11 April 2026 — Sebanyak 200,000 benih udang galah dilepaskan ke Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut, di sini sebagai usaha memulihara sumber perikanan sungai serta memperkukuh ekonomi komuniti setempat.
Program berkenaan dilaksanakan melalui kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Tinggi, Jabatan Perikanan Negeri Johor serta komuniti setempat.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Parlimen Kota Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyifatkan Sungai Sedili Besar, Kampung Gembut sebagai kawasan berpotensi tinggi dengan ekosistem air tawar yang masih terpelihara.
“Kawasan ini mempunyai sistem sungai yang kaya biodiversity. Justeru, usaha pemuliharaan seperti ini amat penting bagi memastikan kelestariannya untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata, pada penghujung 2025, pihak UMT telah membawa beberapa induk udang galah dari Sungai Gembut ke hatcheri universiti untuk pembiakan terkawal sebelum berjaya menghasilkan 200,000 benih untuk dilepaskan semula secara berperingkat.
Katanya, udang galah merupakan spesies air tawar bernilai komersial tinggi dan mempunyai permintaan kukuh di pasaran, sekali gus menjadikan inisiatif itu berpotensi membantu nelayan sungai serta pengusaha kecil menjana pendapatan tambahan.
Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata program berkenaan mencerminkan kerjasama erat antara universiti, agensi kerajaan dan komuniti dalam usaha memulihara biodiversiti perairan.
Menurut beliau, UMT sebagai universiti peneraju dalam bidang kelautan dan sumber akuatik telah melaksanakan pelbagai projek pelepasan benih di seluruh negara termasuk di Bukit Mentok (Kemaman), Bagan Lalang (Sepang), Sedili (Kota Tinggi), Merchang Wetland, Sungai Nyatoh (Setiu) serta kawasan pantai berhampiran kampus universiti.
Selain pelepasan benih, program itu turut menampilkan pameran pendidikan berteraskan sumber perikanan dan inovasi bioteknologi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sumber secara lestari.
UMT melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) turut membawa 10 mahasiswa Skuad Lasykar Alam@UMT untuk berkongsi projek kelestarian bersama komuniti, termasuk penghasilan baja kompos daripada sisa makanan, bio racun untuk sistem akuaponik serta penggunaan mikroorganisma berkesan (EM) dalam pertanian dan penternakan.
Penganjuran program tersebut dilihat sebagai model kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan komuniti dalam mengurus sumber alam secara mampan.
Selain memperkukuh populasi udang galah, inisiatif itu juga berpotensi menjadikan Sungai Gembut sebagai lokasi tumpuan ekopelancongan, pendidikan alam sekitar serta pemuliharaan biodiversiti sungai pada masa hadapan.