UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Lancar Taman Pendidikan Bakau dalam kampus

Ahad, 26/10/2025

Share This Article :

KUALA NERUS, 25 Oktober 2025– Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi berteraskan kelestarian dengan melancarkan beberapa inisiatif strategik dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pemeliharaan alam semula jadi dan pembangunan komuniti.

 

Majlis pelancaran tersebut diadakan bersempena Santapan Petang Istiadat Konvokesyen UMT Kali Ke-23 yang disempurnakan oleh Canselor UMT, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

 

Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah penganjuran Sultan Mizan World Blue Economy Forum (WBEF) 2026 yang dijadual berlangsung pada September 2026. Forum berprestij itu bakal menjadi platform kerjasama serantau dan antarabangsa dalam bidang Ekonomi Biru (Blue Economy) merangkumi sektor tenaga laut boleh diperbaharui, bioteknologi marin, pelancongan komuniti serta perikanan mampan.

 

Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim forum tersebut bakal menghimpunkan pemimpin global, penggubal dasar, penyelidik, penggiat industri dan komuniti antarabangsa bagi membincangkan masa depan Ekonomi Biru yang inklusif, lestari dan berdaya saing.

 

“Melalui Sultan Mizan WBEF 2026, UMT berhasrat memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab utama Ekonomi Biru serantau yang berdaya saing serta berteraskan kelestarian,” ujar beliau.

 

Majlis turut menyaksikan pelancaran Taman Pendidikan Bakau UMT–ETIQA hasil kerjasama strategik antara UMT dan Etiqa General Takaful Berhad. Projek itu merupakan satu-satunya taman pendidikan bakau di daerah Kuala Nerus yang digazetkan sebagai kawasan pembelajaran dan pemuliharaan ekosistem paya bakau alami.

 

Agensi kewangan Etiqa tampil sebagai penyumbang utama dengan sumbangan dana berjumlah RM500,000 bagi pembangunan infrastruktur pembelajaran dan kemudahan pengajaran di taman berkenaan. Projek itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 warga UMT dan komuniti setempat setiap tahun, selain meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan ekosistem bakau.

 

Profesor Zamri menjelaskan bahawa taman pendidikan ini akan menjadi pusat rekreasi, penyelidikan dan eko-pelancongan yang menyokong matlamat kelestarian kampus. Fasiliti utama termasuk pembinaan laluan ‘boardwalk’ sepanjang hampir 400 meter merentasi habitat paya bakau, menghubungkan Masjid UMT, perpustakaan dan kompleks kuliah.

 

Dalam majlis yang sama, bagi memastikan kesinambungan agenda kebajikan dan pembangunan pelajar, UMT turut menerima sumbangan zakat, wakaf dan endowmen berjumlah RM3.3 juta daripada pelbagai agensi. Antara penyumbang utama ialah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Lembaga Tabung Haji, PLUS Malaysia Berhad, Maybank Islamic Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad.

 

Menurut Prof. Zamri, kesemua sumbangan tersebut akan disalurkan melalui Pusat Ihsan UMT bagi menyokong kebajikan pelajar, pembangunan akademik dan kesejahteraan komuniti setempat.

 

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menyalurkan sumbangan kepada UMT samada Kerajaan Negeri, rakan strategik industri, korporat, perbankan dan media atas sokongan berterusan terhadap usaha universiti.

 

“UMT akan terus menjadi peneraju ilmu kelautan dan pusat penyelidikan lestari yang bukan sahaja membangunkan ilmu, tetapi turut memberi impak positif kepada masyarakat dan negara” Katanya.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu