UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Tawar Program Asasi Baharu, Perkukuh Agenda Kelestarian

Isnin, 18/08/2025

Share This Article :

Kuala Nerus, 18 Ogos – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh reputasi sebagai universiti niche kelautan dan sumber akuatik negara dengan memperluaskan bidang pengajian di peringkat asasi serta memperhebat agenda kelestarian alam.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata pihaknya bakal memperkenalkan Program Asasi Pengurusan dan Perniagaan bermula pengambilan tahun 2026.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan melahirkan graduan berkualiti dalam bidang pengurusan dan keusahawanan, malah memastikan kesinambungan pembangunan ilmu yang menyokong agenda ekonomi biru dan kelestarian global.

Ujarnya, program asasi baharu tu turut memperluas kesinambungan daripada program sedia ada iaitu Program Asasi STEM yang kini mencatat pengambilan seramai 500 pelajar.

“UMT telah berkembang positif dalam pelbagai aspek termasuk penarafan serta pengiktirafan global. Kini tiba masanya untuk kami menawarkan program baharu seperti Asasi Pengurusan dan Perniagaan dengan sasaran 1,000 pelajar baharu akan mengikuti pengajian asasi di UMT,” katanya ketika berucap pada Program Perhimpunan Warga UMT 2025 di Dewan Sultan Mizan.

Beliau menegaskan, seluruh warga universiti perlu berganding bahu bagi melonjakkan lagi reputasi UMT selaras dengan Pelan Strategik UMT yang mengutamakan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, inovasi serta kelestarian.

UMT kini berada pada kedudukan terbaik sejak penubuhannya apabila tersenarai dalam kelompok 800–850 universiti terbaik dunia oleh QS World University Rankings. Lebih membanggakan, UMT berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam bidang sains marin dan biologi air tawar, menjadikannya pelopor di Malaysia dalam disiplin tersebut.

Selain kecemerlangan akademik, UMT turut mengorak langkah dalam melaksanakan inisiatif kelestarian alam sekitar.

Antara usaha yang sedang dipacu termasuk Penggunaan kenderaan elektrik (EV) di kawasan kampus bagi mengurangkan pelepasan karbon.

Selain itu, Prof. Zamri berkata, pembangunan bangunan mesra alam dengan ciri-ciri penjimatan tenaga seperti sistem pencahayaan pintar, pengudaraan semula jadi serta penggunaan bahan binaan lestari turut dipasang di beberapa bangunan mengikut fasa yang telah dirancang.

“Hari ini, kita sedang menambahbaik projek pemasangan solar pada bangunan serta parkir berpusat sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga konvensional”

“Usaha ini jelas menunjukkan komitmen UMT dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kita mahu kampus ini menjadi contoh universiti hijau yang bukan sahaja mengangkat kepakaran dalam bidang sains marin dan akuatik, malah bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan komuniti,” katanya.

Beliau menambah, hala tuju UMT selepas ini adalah untuk terus menjadi rujukan utama dalam ekonomi biru, kelestarian sumber akuatik dan kampus hijau selain memperkukuh jaringan strategik bersama industri, komuniti dan rakan penyelidikan antarabangsa.