UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Lancar Ekspedisi Kayak Merdeka 2025 Semarak Semangat Patriotisme Pelajar

Khamis, 14/08/2025

Share This Article :

KUALA NERUS, 14 Ogos 2025 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini melakar sejarah tersendiri apabila melancarkan Ekspedisi Kayak Merdeka UMT 2025, salah satu inisiatif sukan air yang julung kali diadakan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan pelajar sempena sambutan Bulan Kebangsaan kali ke-68.

Majlis peluncuran ekspedisi itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain di Pantai UMT.

Ekspedisi ini disertai kira-kira 40 peserta yang terdiri daripada pelajar dan atlet sukan rowing UMTdengan laluan sejauh lebih kurang 22 kilometer dari Pantai UMT ke Pulau Bidong.

Ia merupakan antara ekspedisi kayak merdeka pertama yang dianjurkan oleh universiti menggabungkan elemen ketahanan fizikal, kemahiran berkayak dan semangat kebersamaan.

Menurut Prof. Dr. Mohd Izani, penganjuran ekspedisi ini bukan sahaja menjadi platform untuk membina kekuatan mental dan fizikal peserta, malah berperanan menyuntik rasa bangga serta cinta kepada negara.

“Ekspedisi ini adalah simbol kesungguhan warga UMT khususnya pelajar dalam menghargai erti kemerdekaan. Selain menguji daya tahan dan kerjasama berpasukan, ia menjadi penghayatan sebenar nilai patriotisme dan kecintaan kepada tanah air” katanya ketika merasmikan program.

Tambah beliau, pemilihan Pulau Bidong sebagai destinasi penamat bukan sahaja signifikan dari aspek cabaran laut terbuka, malah mengingatkan kepada sejarah dan warisan yang dimiliki pulau tersebut.

Ekspedisi Kayak Merdeka UMT 2025 ini turut diselaraskan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi UMT dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan para peserta.

Program ini menjadi simbolik penyatuan semangat juang generasi muda universiti dalam mengharungi cabaran demi menjulang panji kemerdekaan seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan ke-68.