Selasa, 26/08/2025
Share This Article :
Dalam menghadapi era globalisasi yang penuh cabaran, amalan penjimatan tenaga elektrik bukan lagi sekadar pilihan tetapi keperluan mendesak.
Baru-baru ini, sebuah podcast perkongsian bertajuk “Langkah Penjimatan Tenaga dalam Kehidupan Seharian” dianjurkan sebagai wadah mendidik masyarakat mengenai kepentingan amalan cekap tenaga demi kesejahteraan bersama.
Perkongsian menarik dalam podcast mengenai penjimatan tenaga masa kini yang disampaikan oleh Prof. Ts. Dr. Ahmad Nazri Dagang, Pakar Elektrik dan Elektronik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), beliau menekankan bahawa masyarakat perlu mula sedar tentang kepentingan penggunaan serta amalan jimat tenaga sebagai satu usaha kecil yang memberi kesan besar dalam mengekalkan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan kehidupan.
Antara langkah praktikal yang disarankan termasuklah penggunaan barangan elektrik jimat tenaga yang diiktiraf dengan label kecekapan tenaga.
Menurutnya, pemasangan panel solar bagi memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui serta penggunaan mentol jimat tenaga juga perlu diberi perhatian oleh masyarakat kerana ia mampu mengurangkan bil elektrik dalam jangka masa panjang.
Selain memberi manfaat dari segi kewangan isi rumah, pendekatan itu juga membantu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Secara tidak langsung ia dapat mengekang pelepasan karbon yang menjadi penyumbang utama kepada perubahan iklim global.
Menurut Prof. Ts. Dr. Ahmad Nazri lagi, penjimatan tenaga adalah langkah mudah yang boleh dimulakan dari rumah, namun kesannya mampu menyumbang kepada agenda kelestarian negara.
“Setiap individu yang mengamalkan sikap bertanggungjawab ini sebenarnya sedang membina masa depan lebih lestari untuk generasi akan datang”.
“Inisiatif seperti ini wajar diperluaskan melalui pelbagai medium komunikasi kerana kesedaran masyarakat adalah kunci kepada perubahan”.
Katanya, penjimatan tenaga bukan sahaja menjimatkan wang ringgit, malah menjadi sebahagian daripada usaha kolektif dalam melindungi alam sekitar dan menjamin kelestarian bumi yang kita diami.
Dikeluarkan oleh :
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu