UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MUNCH 2025 Himpunkan Pakar Kesihatan Universiti Awam

Isnin, 20/08/2025

Share This Article :

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Lebih 140 peserta terdiri daripada kakitangan pusat kesihatan universiti awam seluruh Malaysia serta pelajar universiti menyertai 3rd Malaysian Universities National Health Convention (MUNCH) 2025 yang berlangsung pada 20 hingga 21 Ogos di Raia Hotel & Convention Centre, Terengganu.
Konvensyen dwitahunan anjuran Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia (MAKESUM) itu merupakan anjuran bersama oleh Pusat Kesihatan Pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Pusat Kesihatan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Dengan tema “Empowering Healthy Community: The Future of Health Promotion” MUNCH 2025 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kapasiti profesional kesihatan, menyediakan ruang pembentangan hasil penyelidikan, meningkatkan kesedaran pencegahan penyakit serta mewujudkan platform kolaborasi antara universiti, penyelidik dan industri kesihatan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Profesor Dr. Zainal Amin Ayub.
Naib Canselor UMT, YBrs. Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dalam ucapannya berkata kesihatan merupakan aset yang amat berharga dan memerlukan pendekatan promosi yang lebih berkesan melalui penglibatan komuniti.
“Konvensyen ini dilihat sebagai satu usaha yang baik oleh universiti awam dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kesihatan, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat bermula daripada warga universiti sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menyebut bahawa kejayaan penganjuran bersama UniSZA dan UMT membuktikan keupayaan universiti awam bekerjasama dalam menggalakkan budaya hidup sihat.
MUNCH 2025 menghimpunkan seramai 122 kakitangan pusat kesihatan daripada 20 universiti awam serta 20 pelajar dari UniSZA, UMT, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).
Konvensyen itu dijangka menjadi platform strategik dalam merangka hala tuju promosi kesihatan universiti awam Malaysia, seiring dengan usaha kerajaan memperkasakan kesejahteraan masyarakat melalui pencegahan penyakit dan gaya hidup sihat.