UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Festival of Ideas@Terengganu 2025 pacu ekosistem inovasi, TVET dan R&D

Ahad, 19/10/2025

Share This Article :

KUALA TERENGGANU, 18 Oktober 2025 – Festival of Ideas (FOI) @ Terengganu 2025 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mencetus inspirasi dalam memperkasa ekosistem ilmu, inovasi dan penyelidikan negara apabila menghimpunkan pelbagai idea kreatif, teknologi baharu serta kolaborasi strategik antara universiti, industri dan masyarakat.

Majlis perasmian yang berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof. Dr. Azlinda Azman yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia.

Dalam teks ucapan yang dibacakan, YB Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada UMT atas inisiatif menganjurkan festival berimpak tinggi ini serta penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan semua rakan strategik yang turut menjayakan penganjuran FOI 2025.

“Festival of Ideas bukan sekadar acara, tetapi gerakan bersama untuk membina masa depan negara berasaskan idea dan inovasi. Ia melambangkan transformasi budaya ilmu daripada berfikir secara tertutup kepada berfikir secara kolaboratif dan terbuka,” ujar beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa di bawah Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM7.9 bilion untuk disalurkan bagi memperkukuh bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara.

Sebahagian daripada inisiatif ini akan dilaksanakan di UMT melalui pembangunan Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine yang bakal menjadi hab latihan maritim berimpak tinggi dan menyokong pertumbuhan ekonomi biru negara.

“UMT melangkah ke hadapan dengan membangunkan Teaching Shipyard TVET Marine yang akan melahirkan tenaga mahir maritim bertaraf global. Ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai peneraju pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, universiti bukan sekadar melahirkan graduan berpengetahuan, tetapi juga pemikir dan pencipta yang mampu mencetuskan solusi kepada cabaran semasa.

Festival of Ideas @ Terengganu turut menampilkan pelbagai pavilion pameran yang merangkumi bidang inovasi, TVET, sains dan teknologi, seni, warisan serta pameran 1001 Muslim Inventions.

Pelibatan aktif pelajar, penyelidik dan komuniti membuktikan bahawa FOI berfungsi sebagai jambatan antara ilmu, kreativiti dan nilai kemanusiaan.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi atas sokongan padu terhadap usaha universiti memperkukuh agenda inovasi, penyelidikan dan pembangunan TVET.

“Festival of Ideas ini adalah pentas yang menghubungkan idea dan impak. Ia menjadi wadah UMT memperlihatkan hasil penyelidikan yang boleh diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk masyarakat dan industri,” katanya.

FOI dijangka menjadi platform penting dalam mencetuskan idea dan membina masa depan negara yang bukan hanya memerlukan tenaga kerja berkemahiran, tetapi pemikir yang mampu mencipta peluang baharu.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu