UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT, Exacmust jalin kerjasama, perkukuh strategi pengkomersialan dan imej universiti

Rabu, 15/10/2025

Share This Article :

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh hubungan strategik bersama pihak industri dalam usaha memperluas pengkomersialan hasil inovasi universiti serta mempertingkat imej korporat institusi pendidikan tinggi itu di persada nasional dan antarabangsa.

 

Langkah proaktif ini dizahirkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMT dan Exacmust Sdn. Bhd. yang diadakan di kampus UMT. Majlis itu turut menyaksikan pelancaran produk eksklusif U&ME Together (Edisi Khas) hasil kolaborasi kreatif antara kedua-dua pihak sebagai simbol kebersamaan dan kesepunyaan warga universiti.

 

Kerjasama strategik itu dilaksanakan melalui Pusat Ihsan UMT dengan penubuhan Marmoris Outlet iaitu kedai cenderamata rasmi universiti yang berperanan sebagai platform utama untuk memasarkan produk beridentiti UMT hasil rekaan unik pelajar serta produk kolaboratif bersama rakan industri yang berpotensi dikomersialkan.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata kerjasama itu adalah antara langkah penting universiti dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan penjanaan pendapatan yang mampan.

 

“Universiti Malaysia Terengganu sentiasa berusaha memperkukuhkan hubungan strategik bersama pihak industri dalam usaha memperluas pengkomersialan hasil inovasi dan mempertingkat imej korporat universiti.

 

“Pendekatan yang diambil ini selaras dengan aspirasi universiti untuk membina ekosistem keusahawanan dan penjanaan pendapatan yang mampan serta berimpak kepada warga universiti dan komuniti setempat,” ujar beliau.

 

Tambah beliau, idea produk U&ME Together (Limited Edition) merupakan gagasan yang menzahirkan semangat kebersamaan, kekitaan dan kesepunyaan dalam kalangan warga UMT.

 

“Konsep ini bukan sekadar jenama, tetapi lambang kekuatan kolektif antara universiti, industri dan masyarakat. Melalui kolaborasi bersama Exacmust Sdn. Bhd., kita berharap nilai kebersamaan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk produk eksklusif yang membawa makna simbolik terhadap hubungan erat tersebut” jelas beliau.

 

Sementara itu, penubuhan Marmoris Outlet juga dilihat sebagai salah satu inisiatif berimpak tinggi UMT dalam memperkasa jenama universiti melalui pendekatan komersial yang inovatif dan berdaya saing.

 

Majlis pemeteraian MoU ini menandakan permulaan kepada rangka kerjasama lebih luas antara UMT dan Exacmust Sdn. Bhd, khususnya dalam bidang reka bentuk, pemasaran dan pembangunan produk universiti yang mampu menembusi pasaran nasional.

 

Pemeteraian perjanjian itu dijangka memberi impak pulangan hasil serta menggandakan usaha memperluas pengkomersialan jenama universiti seterusnya mempertingkat imej Universiti Malaysia Terengganu sebagai institusi unggul berasaskan ilmu, inovasi dan memberi impak signifikan kepada masyarakat.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu