UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT Galak Agensi Korporat, NGO Perkasa Usaha Pemuliharaan Marin

Selasa, 29/07/2025

Share This Article :

Kuala Lumpur – Lautan bukan sekadar air berwarna biru yang indah. Ia adalah nadi kehidupan yabg pembekal oksigen, penstabil iklim dan sumber makanan kepada jutaan manusia. Namun, lautan kita kini berdepan krisis luar biasa akibat perubahan iklim, pencemaran dan tekanan aktiviti manusia. Melihat cabaran ini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengorak langkah sebagai peneraju dalam pemuliharaan ekosistem marin negara melalui kerjasama strategik merentas sektor termasuk agensi korporat.

 

Menerusi slot wawancara Selamat Pagi Malaysia, Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd Zamri Ibrahim memberi penekanan holistik menerusi tajuk “Ekosistem Marin: Tanggungjawab Bersama untuk Generasi Akan Datang”.

 

Menurut Prof. Zamri, indikator saintifik sejak sedekad lalu amat membimbangkan.

 

“Sebagai universiti yang berfokus marin, kita sangat maklum tentang perubahan-perubahan yang berlaku mutakhir ini khususnya melibatkan lautan dan iklim”

 

“Suhu permukaan laut melonjak, keasidan laut meningkat, terumbu karang semakin memutih dan populasi spesies utama berkurang. Bahkan, data penyelidikan UMT menunjukkan perubahan saiz dan berat penyu yang signifikan, menandakan gangguan ekologi yang kronik.

 

“Laut kita semakin kehilangan keupayaan sebagai pengawal kestabilan suhu dan oksigen dunia. Situasi ini menuntut kita bertindak segera dan bijaksana,” tegas beliau.

 

Pencemaran plastik yang mencecah 14 juta tan setahun dan ancaman terhadap lebih 800 spesies marin menambahkan keperluan mendesak kepada pendekatan holistik yang melibatkan penyelidikan, pendidikan dan tindakan lapangan.

 

Mengulas kerjasama antara sektor akademik dan korporat, beliau menyatakan bahawa kerjasama jitu antara UMT dengan agensi korporat merupakan antara strategi penting untuk menyokong pembangunan lestari.

 

Menurutnya, kekurangan kefahaman masyarakat dan penggubal dasar terhadap potensi sebenar lautan menjadi cabaran utama dan lautan bukan sekadar  membekalkan sumber protein, tetapi juga sumber tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga ombak dan arus laut.

Usaha pemuliharaan marin tidak lagi boleh dipandang remeh. Dalam menghadapi realiti perubahan iklim, kemusnahan biodiversiti dan peningkatan tekanan terhadap sumber lautan, hanya pendekatan menyeluruh yang mampu membawa penyelesaian berkesan.

 

Apa yang digerakkan oleh UMT bersama rakan korporat seperti RHB bukan sekadar contoh kerjasama yang berjaya, tetapi juga satu seruan serta galakan kepada seluruh lapisan masyarakat termasuk pemain industri, agensi kerajaan dan badan korporat.

 

“Generasi akan datang berhak mewarisi laut yang sihat, kaya dengan kehidupan dan berfungsi sebagai penstabil bumi. Bagi memastikan hasrat itu menjadi realiti, tindakan mesti bermula hari ini dan perlu dilakukan bersama”. Katanya.